Projek Bazar Siti Aisyah bermula, peniaga mohon insentif perpindahan

Presiden Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu, Nik Rosmawati Nik Yusoff

KOTA BHARU, 9 April – Peniaga batik dan kraf di Bazar Buluh Kubu menyambut baik usaha kerajaan Persekutuan menaik taraf bazar tersebut kepada Bazar Siti Aisyah, malah bersedia berpindah ke lokasi sementara bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek naik taraf bernilai RM28 juta dijangka beri nafas baharu kepada bazar.
  • Kira-kira 150 peniaga yang beroperasi lebih 40 tahun menerima notis pengosongan lot.
  • Peniaga mohon penangguhan sehingga hujung bulan kerana tempoh singkat dan kos pemindahan tinggi.
  • Lokasi sementara di Jalan Padang Garong tidak mampu ditampung semua peniaga; mereka minta insentif perpindahan daripada kerajaan dan PKINK.

Projek naik taraf bernilai RM28 juta itu dijangka memberi nafas baharu kepada bazar berkenaan yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan utama pengunjung, khususnya pelancong ke negeri ini.

Presiden Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu, Nik Rosmawati Nik Yusoff berkata, kira-kira 150 peniaga di bazar yang telah beroperasi lebih 40 tahun itu menerima notis mengosongkan lot masing-masing sejak awal bulan lalu.

Bagaimanapun, pihak peniaga memohon penangguhan sehingga hujung bulan ini berikutan tempoh yang singkat selain memerlukan masa untuk membuat persediaan berpindah ke lokasi sementara.

“Lokasi sementara yang ditetapkan ialah di sebuah bangunan bekas pasar raya di Jalan Padang Garong, tetapi tidak semua peniaga mampu berpindah ke situ disebabkan kos pemindahan yang tinggi serta kadar sewa yang meningkat.

“Kita akur untuk berpindah sementara dan telah menawarkan kepada ahli supaya berada di lokasi yang sama. Namun ada peniaga yang tidak mampu dan terpaksa mencari tempat lain. Kita harap kerajaan dan PKINK dapat mempertimbangkan bantuan kerana kita sanggup berkorban dan berharap dapat kembali berniaga di sini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri dapat mempertimbangkan pemberian insentif perpindahan bagi meringankan beban peniaga terlibat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM28 juta kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi menaik taraf Bazar Siti Aisyah dengan tempoh pelaksanaan selama 36 bulan dan dijangka siap pada Disember 2028.

Bazar Siti Aisyah yang terletak bersebelahan Pasar Siti Khadijah merupakan bazar moden pertama di Kota Bharu yang dibuka pada 1985 dan terkenal sebagai pusat penjualan kraftangan, batik, songket serta produk tempatan.

Namun, bazar tersebut kini semakin kurang dikunjungi susulan perkembangan pesat bandar dan kewujudan pusat membeli-belah moden, sekali gus menuntut usaha penambahbaikan bagi mengembalikan semula daya tarikannya.