
IPOH, 9 April – Pindaan Akta Perikanan 2025 yang akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh sektor perikanan agar lebih mampan, berdaya tahan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran semasa.
- Memperkasa pengurusan sumber, melindungi kebajikan nelayan dan menjamin keterjaminan makanan negara.
- Memperketat kawal selia, membanteras perikanan tidak sah tidak dilapor tidak dikawal selia (IUU) dan meningkatkan kadar hukuman.
- Memberi kuasa melarang aktiviti perikanan di perairan tercemar serta memperkukuh penggunaan data saintifik dalam perancangan perikanan.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, pindaan tersebut memastikan pengurusan sumber perikanan dapat diperkasa, melindungi kebajikan nelayan serta menjamin keterjaminan makanan negara secara menyeluruh.
Pindaan itu merangkumi usaha memperketat kawal selia aktiviti perikanan termasuk membanteras aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia atau IUU Fishing, selain meningkatkan kadar hukuman bagi kesalahan melibatkan industri tersebut.
Selain itu, pindaan berkenaan turut memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Perikanan untuk melarang aktiviti perikanan di kawasan perairan tercemar, sekali gus melindungi sumber marin dan kesihatan pengguna.
Penggunaan data saintifik dalam perancangan perikanan juga diperkukuh bagi memastikan setiap dasar yang dirangka lebih tepat, responsif dan selari dengan keperluan semasa industri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus (SLU) Pindaan Akta Perikanan 2025 dan Kesan Konflik Iran-Amerika Syarikat terhadap Sektor Perikanan Negara di Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Perak, Ipoh.
Turut hadir, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengarah Perikanan Negeri Perak, Ghazali Manap.