Nyawa dan harta benda tetap jadi fokus, JBPM kawal kos operasi

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Ahmad Izram Osman

LABUAN, 9 April – Keutamaan melindungi nyawa dan harta benda kekal menjadi fokus utama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meskipun berdepan kekangan kos operasi susulan krisis bahan api global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah penjimatan bahan api dilaksanakan, termasuk penugasan jentera berasaskan keperluan, perkongsian kenderaan, mesyuarat dalam talian dan amalan carpool.
  • Kesediaan operasi dikekalkan walau bekalan dan harga bahan api terjejas, dengan keutamaan diberi kepada situasi kecemasan.
  • Perolehan 6,000 set Fire Resistant Suit hingga 2027 dan peruntukan RM10 juta untuk penyelenggaraan kuarters meningkatkan keselamatan serta kebajikan anggota.

Walaupun konflik di Asia Barat memberi kesan kepada harga serta bekalan bahan api, perkara itu tidak menjejaskan tahap kesiapsiagaan operasi kebombaan dan penyelamatan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Ahmad Izram Osman berkata, pelbagai langkah penjimatan telah dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengawal penggunaan bahan api tanpa menjejaskan kecekapan operasi.

Menurut beliau, antara langkah diambil termasuk penugasan jentera berdasarkan keperluan, pelaksanaan mekanisme perkongsian kenderaan serta pengoptimuman mesyuarat secara dalam talian.

“Kita ada prosedur yang lebih ketat termasuk amalan seperti ‘carpool’. Penggunaan jentera utiliti yang tinggi perlu dikawal rapi, jika tidak ia boleh menjejaskan bajet. Namun bagi situasi kecemasan, kita tetap utamakan operasi walau apa jua keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, aspek keselamatan anggota terus diberi perhatian menerusi perolehan 6,000 set Fire Resistant Suit (FRS) yang akan dibekalkan secara berperingkat sehingga 2027 bagi memastikan perlindungan optimum ketika bertugas.

Selain itu, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM10 juta bagi penyelenggaraan kuarters bomba di seluruh negara, termasuk 27 unit di Labuan, sebagai usaha meningkatkan kebajikan anggota.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sijil Perkhidmatan Terpuji JBPM Labuan.

Seramai 14 penerima APC dan 34 penerima sijil penghargaan diraikan atas disiplin tinggi, semangat berpasukan serta integriti yang menjadi asas kepada produktiviti dan keberkesanan perkhidmatan di pulau berkenaan.