
SRI AMAN, 9 April – Usaha meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) padi negara kepada sekurang-kurangnya 80 peratus terus menjadi keutamaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam memastikan sekuriti makanan negara kekal terjamin.
- Meningkatkan Kadar Sara Diri padi kekal keutamaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
- Penurunan SSR dipunca oleh penukaran sawah kepada pembangunan industri dan perumahan serta tanah terbiar.
- Tumpuan membuka sawah baharu berskala besar dikendalikan syarikat dengan sokongan KPKM dan Padi dan Beras.
- Perubahan cuaca dan ketidaktentuan geopolitik menjejaskan rantaian bekalan, menuntut pengukuhan pengeluaran makanan domestik.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini tahap SSR padi negara berada sekitar 53 peratus berbanding sasaran 71 peratus sebelum ini susulan beberapa faktor, termasuk pengurangan kawasan penanaman.
Antara punca utama penurunan tersebut ialah penukaran kawasan sawah kepada pembangunan industri dan perumahan, selain terdapat tanah yang tidak lagi diusahakan.
“Sebab itu kita tumpu untuk membuka sawah-sawah di kawasan baharu, seboleh-bolehnya berskala besar yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat dengan bantuan KPKM serta pihak Padi dan Beras untuk ditanam dengan padi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Gelombang Padi Sarawak, Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan Hari Bersama Pelanggan AIDA Batang Lupar 2026 di Dewan Sri Nangkai, Geran Stumbin di sini.
Menurutnya, faktor luar seperti perubahan cuaca dan ketidaktentuan geopolitik global turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan, sekali gus menuntut negara memperkukuh pengeluaran domestik.