
IPOH, 9 April – Bekalan ikan di negara ini masih mencukupi meskipun sektor perikanan berdepan tekanan akibat krisis tenaga global ketika ini.
- Vesel nelayan Zon A, B dan C masih keluar ke laut berkat sokongan kerajaan termasuk subsidi, mengekalkan operasi penangkapan ikan.
- Subsektor akuakultur membantu menampung kekurangan hasil tangkapan, manakala stok simpanan boleh menampung sekurang-kurangnya tiga bulan.
- Pihak berkuasa memantau fenomena El Nino dan menggesa orang ramai tidak melakukan pembelian panik untuk mengelakkan gangguan bekalan makanan.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, situasi semasa masih terkawal dengan operasi penangkapan ikan berjalan seperti biasa.
Menurutnya vesel nelayan bagi Zon A, B dan C masih mampu keluar ke laut hasil sokongan kerajaan termasuk pemberian subsidi, sekali gus memastikan pengeluaran bekalan ikan negara tidak terjejas secara ketara.
“Bekalan ikan tidak banyak terjejas kerana vesel dari Zon A, B dan C masih beroperasi menangkap ikan. Selain itu, subsektor akuakultur turut membantu menampung bekalan ikan sekiranya terdapat sedikit kekurangan daripada hasil tangkapan.
“Dalam senario terburuk, sekiranya semua vesel penangkapan ikan tidak dapat beroperasi pada masa ini, stok simpanan sedia ada masih mampu menampung bekalan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan”, katanya.
Pada masa sama, pihaknya turut memantau rapi perkembangan cuaca khususnya fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada paras air sungai serta pengeluaran akuakultur di beberapa negeri bagi tempoh Mei dan Jun.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan makanan termasuk ikan, ayam dan telur masih mencukupi serta berada pada tahap stabil ketika ini.
Beliau ditemui pada sidang media Sesi Libat Urus (SLU) Pindaan Akta Perikanan 2025 dan Kesan Konflik Iran-Amerika Syarikat terhadap Sektor Perikanan Negara di Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Perak, Ipoh.