
KLUANG, 12 Mei – Dana perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini tidak lagi dibekukan selepas melalui proses penstrukturan semula yang lebih telus dan tersusun.
- Menteri berkata tindakan bertujuan memastikan tiada ketirisan atau kebocoran dana dalam perolehan aset pertahanan negara.
- Perkembangan ini selari usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan keyakinan terhadap sistem perolehan sektor keselamatan.
- MTEN meminta kementerian mengemukakan cadangan strategik bagi menghadapi krisis bekalan global dan konflik Asia Barat, fokus peperangan asimetrik serta keupayaan industri pertahanan tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi ketirisan atau kebocoran dana dalam urusan perolehan aset pertahanan negara.
Menurut beliau, perkembangan itu juga selari dengan usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keyakinan terhadap sistem perolehan dalam sektor keselamatan.
“Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah meminta kementerian mengemukakan cadangan strategik bagi mendepani cabaran krisis bekalan global serta konflik di Asia Barat, khususnya dari sudut pertahanan.
“Pendekatan peperangan asimetrik atau ‘asymmetrical warfare’ perlu diberi perhatian berdasarkan pengalaman konflik semasa, selain memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ekonomi MADANI ATM di Kem Batu 3, di sini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu mengarahkan pembekuan sementara semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai kaitan dengan isu rasuah, sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Langkah itu diambil susulan kontroversi melibatkan dakwaan rasuah serta salah guna kuasa yang membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi ATM.