DBKL kenal pasti 14 hotspot banjir ibu negara untuk tindakan mitigasi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Jumlah lokasi panas (hotspot) banjir di ibu negara kini berjaya dikurangkan kepada 14 lokasi berbanding lebih 30 kawasan sebelum ini hasil pelaksanaan pelbagai projek mitigasi dan penambahbaikan sistem saliran secara berterusan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan mitigasi diberi kepada Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Bulatan Datuk Onn dan Jalan Tun Sambanthan.
  • DBKL menubuhkan dua pasukan respons pantas yang dikerah jika taburan hujan melebihi 22 mm sejam untuk membersihkan inlet.
  • Hujan berintensiti tinggi pada 6 Mei (96.5 mm sejam) melebihi amaran JPS, menyebabkan banjir kilat di Segambut Dalam dan Pantai Dalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, tumpuan kini diberikan kepada baki kawasan berkenaan termasuk Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Bulatan Datuk Onn dan Jalan Tun Sambanthan bagi memastikan risiko air bertakung dapat diminimumkan.

Menurutnya, projek mitigasi yang dilaksanakan menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan kekerapan banjir kilat di beberapa kawasan strategik di sekitar pusat bandar raya.

“Antaranya kita telah mengenal pasti 14 lokasi panas (hotspot) banjir untuk tindakan susulan dan turut menubuhkan dua pasukan respons pantas (flying squad).

“Kesemua 14 lokasi ini akan dipantau dan sekiranya taburan hujan melebihi 22 milimeter (mm) sejam, pasukan ini akan segera dikerahkan ke lokasi berkenaan.

“Ini kerana adakalanya hujan lebat turut membawa dedaun kering yang boleh menyumbat lubang masuk air (inlet). Oleh itu, tugas pasukan ini adalah untuk membersihkan segala halangan bagi memastikan air larian dapat mengalir terus ke dalam sistem saliran utama,”katanya pada sidang media di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Muhammad Azmi Mohd Zain.

Mengulas mengenai punca kejadian banjir, Fadlun menjelaskan hujan berintensiti tinggi pada 6 Mei lalu dengan bacaan 96.5 milimeter (mm) dalam tempoh sejam, iaitu melebihi paras amaran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sekitar 60 mm.

Situasi tersebut mengakibatkan kejadian banjir kilat di beberapa lokasi termasuk Segambut Dalam dan Pantai Dalam.