Komuniti MADANI perlu juarai masalah rakyat

Datuk Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 12 Mei – Komuniti MADANI perlu berada di barisan hadapan dalam memahami denyut nadi, masalah serta keresahan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komuniti MADANI harus melaksanakan intervensi sewajarnya untuk menangani isu rakyat secara berkesan.
  • Nilai isu bukan hanya berdasarkan laporan; perlu difahami terus melalui situasi sebenar di lapangan.
  • Komuniti mesti dilengkapi maklumat supaya boleh membantu rakyat mendapat akses kepada bantuan kerajaan.
  • Perkasakan Komuniti MADANI sebagai medium penyampaian maklumat agar inisiatif dan bantuan sampai kepada golongan sasar.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, komuniti itu bukan sahaja perlu memahami realiti kehidupan masyarakat setempat secara menyeluruh, malah berperanan melaksanakan intervensi sewajarnya bagi memastikan setiap isu dapat ditangani dengan berkesan.

Menurut beliau, pendekatan tersebut penting supaya sesuatu isu tidak hanya dinilai berdasarkan laporan semata-mata, sebaliknya difahami secara terus menerusi situasi sebenar di lapangan.

“Ada isu-isu yang mungkin komuniti MADANI perlu santuni dan jelaskan juga. Ada yang bertanya tentang diesel, individu atau budi diesel. Ada yang tak tahu, boleh mendapat bantuan. Kerajaan sebelum ini dah berikan bantuan tunai RM200, tapi telah ditingkatkan pada 21 April yang lalu menjadi RM400.

“Seorang peniaga yang menjual pisang di pasar itu, beliau bertanya bagaimana saya nak dapat? Jadi, maksudnya, Komuniti Madani perlu dilengkapkan dengan maklumat supaya mereka boleh membantu komuniti setempat untuk mendapat akses kepada bantuan-bantuan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Kementerian Komunikasi Bulan Mei 2026, di sini.

Tambah Datuk Fahmi, masih terdapat segelintir masyarakat yang berdepan cabaran harian termasuk peningkatan kos sara hidup serta kekangan akses kepada kemudahan asas, namun gagal memperoleh maklumat yang tepat mengenai bantuan disediakan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Komuniti MADANI perlu terus diperkasa sebagai medium penyampaian maklumat agar setiap inisiatif dan bantuan kerajaan dapat disalurkan secara lebih berkesan kepada golongan sasar.