
KANGAR, 12 Mei – Agenda pembinaan Negara Bangsa kini diangkat sebagai fokus utama Kementerian Perpaduan Negara bagi jangka pendek dan panjang, dalam usaha memperkukuh keamanan serta kestabilan negara.
- Konsep Negara Bangsa sebagai tunjang keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan negara.
- Konvensyen Sejarah Nasional 2026 di UniMAP disempurnakan oleh Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis.
- Kepelbagaian lebih 200 etnik hendaklah diperkasa berterusan supaya menjadi kekuatan utama pembangunan negara.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pendekatan itu penting memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang memerlukan asas kukuh bagi menjamin perpaduan rakyat.
“Konsep Negara Bangsa bukan sahaja relevan, malah menjadi tunjang kepada keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan negara.
“Kementerian telah mula memberi penekanan serius terhadap agenda tersebut bermula tahun ini sebagai langkah strategik memperkukuh perpaduan nasional.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Sejarah Nasional 2026, Bersama Membina Negara Bangsa di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang turut berangkat bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Mengulas lanjut, Aaron berkata Malaysia berdiri megah sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, melibatkan lebih 200 etnik dengan keunikan tersendiri dari segi bahasa, budaya, makanan, seni tarian dan muzik.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha membina Negara Bangsa perlu diperkasa secara berterusan agar kepelbagaian tersebut dapat menjadi kekuatan utama dalam memacu pembangunan negara.