
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Lebih 21,000 jemaah haji Malaysia dilaporkan telah selamat tiba di Tanah Suci bagi fasa awal persediaan menjelang hari wukuf di Arafah.
- Operasi haji berjalan lancar hasil perancangan teliti dan penambahbaikan berterusan oleh Lembaga Tabung Haji.
- Kerajaan komited memastikan kebajikan jemaah terpelihara serta memantau isu visa dan tawaran pakej haji palsu.
- Orang ramai dinasihatkan merujuk terus kepada Tabung Haji untuk pengesahan maklumat pakej dan elak penipuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, setakat ini operasi haji berjalan lancar hasil perancangan teliti dan penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan jemaah terpelihara, termasuk pemantauan rapi terhadap sebarang isu berkaitan visa serta tawaran pakej haji palsu bagi mengelakkan rakyat daripada menjadi mangsa penipuan.
“Setakat ini, Alhamdulillah kita belum menerima lagi aduan-aduan, namun di peringkat Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama khususnya Tabung Haji, JAWHAR dan agensi berkaitan, kita sememangnya memantau dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 agensi di bawah jabatan itu di sini, hari ini.
Dr. Zulkifli turut menasihatkan seluruh rakyat Malaysia agar merujuk terus kepada pihak Tabung Haji sekiranya mempunyai sebarang keraguan atau memerlukan pengabsahan mengenai maklumat pakej haji bagi mengesahkan kesahihannya.
Terdahulu, majlis tersebut menyaksikan seramai 379 penerima diraikan sebagai penghargaan atas kecemerlangan perkhidmatan mereka dalam memacu agensi awam yang berintegriti dan amanah. Antara agensi yang terlibat termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.