Literasi digital perlu diperkasa tangani ancaman pedofil – Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/RTM

PUTRAJAYA, 12 Mei – Literasi digital perlu terus diperkasa bagi meningkatkan kesedaran terhadap ancaman siber terutama jenayah pedofil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa perlu pantau penggunaan internet anak, pasang kawalan ibu bapa dan elakkan komunikasi direct message dengan orang dewasa bagi bawah 16 tahun.
  • Siasatan polis menunjukkan 117 individu ditahan berkaitan kes pedofil, angka mengejutkan yang mungkin hanya tip of the iceberg.
  • MCMC sedang berunding dengan platform media sosial untuk mekanisme pengesahan umur dan pelaksanaan had umur 16 tahun bagi akaun baharu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu penting untuk memberi kesedaran terhadap masyarakat mengenai kewujudan rangkaian pemangsa seksual yang aktif menyasarkan kanak-kanak melalui internet dan media sosial.

Beliau mendedahkan bahawa berdasarkan sidang media Ketua Polis Negara pada 30 April lalu, seramai 117 individu telah ditahan berkaitan kes pedofil setakat ini.

“Ini satu angka yang mengejutkan. kita tak pasti sama ada ini hanya tip of the iceberg ataupun tidak.

“Itu sebab ibu bapa perlu mainkan peranan untuk pastikan anak-anak mereka sentiasa selamat bila menggunakan internet. Paling tidak, perlu memasang kawalan ibu bapa ataupun parental controls untuk aplikasi dan kita perlu larang anak-anak bawah usia 16 tahun daripada berkomunikasi terutama dengan orang dewasa melalui direct message,” katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan
Kementerian Komunikasi Bulan Mei 2026 disini.

Gesaan itu dibuat susulan kes jenayah seksual di Sabah baru-baru ini melibatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang menjadi mangsa selepas berkenalan dengan seorang lelaki dewasa menerusi aplikasi TikTok.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang melaksanakan sesi libat urus bersama platform media sosial bagi memperincikan mekanisme pengesahan umur pengguna.

Tegas beliau, Malaysia kini bersetuju untuk mengikut jejak langkah beberapa negara lain seperti Australia dan United Kingdom dalam menetapkan had umur 16 tahun bagi pembukaan akaun baharu di media sosial.

“Malaysia sama dengan banyak negara lain seperti Australia, Indonesia, Sepanyol, United Kingdom bersetuju untuk menggenakan had umur 16 tahun bagi pembukaan akaun baru dalam media sosial. dan kita akan lalui prosesnya.

“Waktu ini pihak MCMC sedang melakukan proses libat urus dengan platform-platform media sosial supaya proses pengesahan umur itu dapat dilakukan bila diputuskan nanti, diumumkan nanti,” katanya.