Doxing: Adakah matlamat menghalalkan cara?

Gambar janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Doxing adalah pendedahan maklumat peribadi tanpa izin dan telah menjadi alat buli siber, ugutan dan pemerasan yang membahayakan keselamatan mangsa.
  • Motivasi "menegakkan keadilan" tidak menghalalkan doxing; tindakan emosional sering mengaburkan kebenaran dan menghasilkan kezaliman terhadap individu tidak bersalah.
  • Pendekatan sewajarnya ialah laporan kepada pihak berkuasa, pemerkasaan undang-undang, dan pendidikan kewarganegaraan digital serta literasi privasi pengguna.

Saban hari, landskap digital Malaysia disajikan dengan pelbagai drama kehidupan dalam dunia siber. Di sebalik kebaikan jaringan global yang merapatkan jurang komunikasi, wujud satu sisi gelap yang semakin menular dalam kalangan warga siber iaitu fenomena doxing.

Berdasarkan ketetapan rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), doxing diterjemahkan sebagai dedah maya dan didefinisikan sebagai tindakan mendedahkan dan menyebarkan maklumat peribadi tentang individu atau organisasi secara terbuka tanpa izin pemiliknya, misalnya seperti nombor telefon, alamat dan gambar peribadi melalui ruang Internet.

Di tengah-tengah keghairahan warga siber memainkan peranan sebagai ‘Hakim Digital oleh netizen’ atau lebih dikenali sebagai ‘Mahkamah Siber’ dan juga Trial by Social Media, satu persoalan dari sudut moral dan undang-undang yang timbul: Adakah matlamat untuk menegakkan keadilan boleh menghalalkan fenomena doxing ini?

Apabila berlaku kes-kes tular seperti isu sentimen 3R iaitu Bangsa (Race), Agama (Religion), Institusi Diraja (Royalty), pemanduan melulu, penganiayaan haiwan, curang atau penipuan dan lain-lain lagi, netizen bertindak melancarkan serangan doxing sebagai satu bentuk hukuman sosial.

Golongan warga siber ini menganggap diri mereka sebagai pejuang keadilan yang menjalankan tanggungjawab sivik. Sering kali, justifikasi atau motivasi utama yang dilaungkan oleh pelaku doxing ini bertunjangkan tuntutan keadilan dan balas dendam.

Kajian yang dijalankan oleh Peter Snyder, Chris Kanich, Periwinkle Doerfler dan Damon McCoy dari University of Illinois dan New York University yang bertajuk Fifteen Minutes of Unwanted Fame: Detecting and Characterizing Doxing mengenai isu ini membuktikan bahawa motif menegakkan keadilan bagi pihak ketiga yang dianiaya atau membalas dendam akibat konflik peribadi merupakan pemacu terbesar bagi aktiviti pencarian maklumat ini.

Malangnya, dalam ekosistem ‘kehakiman siber’ yang dipandu emosi secara beramai-ramai ini, sempadan antara kebenaran dan fitnah menjadi kabur dan sukar untuk dibezakan.

Perlakuan mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran merupakan satu perbuatan jenayah yang tidak boleh dikompromi lagi.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui kenyataan tegas Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Ketua Polis Negara (KPN) pada 24 Januari 2026 telah mengklasifikasikan doxing sebagai satu salah laku jenayah berat di bawah undang-undang negara.

Ketegasan ini timbul kerana perlakuan ini bukan lagi sekadar perkongsian maklumat, tetapi telah berevolusi menjadi instrumen buli siber, ugutan, pemerasan, dan gangguan yang boleh mengancam keselamatan fizikal mangsa.

Apabila sesuatu maklumat disebarkan ke dunia maya, pelaku tidak lagi mempunyai kawalan ke atas bagaimana maklumat tersebut akan digunakan oleh pengguna internet lain yang mungkin berniat jahat.

Kesan terhadap mangsa yang terkena serangan doxing ini adalah sangat dahsyat dan bersifat multidimensi. Dari sudut psikologi, mangsa akan mengalami trauma mendalam, kehilangan rasa kawalan, ketakutan yang melampau, keresahan serta kecenderungan untuk mengasingkan diri daripada warga siber mahupun dunia nyata.

Berdasarkan penyelidikan kualitatif yang dijalankan oleh Stine Eckert dan Jade Metzger-Riftkin bertajuk Doxxing, Privacy and Gendered Harassment The Shock and Normalization of Veillance Cultures meneliti pengalaman mangsa, rantaian gangguan digital ini kerap kali merebak ke dunia fizikal.

Ia seperti gangguan di tempat kerja, panggilan ancaman bunuh berterusan, malah kes ekstrem seperti swatting iaitu pelaku membuat panggilan palsu kepada pihak polis atau perkhidmatan kecemasan dengan berpura-pura berlaku kecemasan serius seperti ancaman bom atau tebusan untuk memaksa pasukan bersenjata khas menyerbu rumah mangsa.

Kajian ini juga mendapati mangsa-mangsa ini terpaksa mengambil tindakan drastik memadam akaun media sosial mereka, menukar tetapan privasi secara menyeluruh, atau memencilkan diri demi keselamatan. Perlakuan ini adalah suatu bentuk pengasingan sosial yang meragut kebebasan asas mereka yang juga sebagai warganegara digital.

Lebih menyedihkan, amalan doxing ini sering kali tidak mengenal mangsa. Ahli keluarga, anak-anak, ibu bapa atau rakan-rakan mangsa yang tidak bersalah turut menjadi sasaran limpahan kebencian warga siber apabila alamat rumah, alamat tempat kerja dan talian telefon mereka juga disebarkan.

Prinsip keadilan siber jenis apakah yang menghukum ibu tua atau anak kecil disebabkan kesilapan seorang ahli keluarga mereka? Hal ini jelas membuktikan bahawa doxing adalah satu tindakan yang tidak adil, semberono, dan gagal mematuhi neraca keadilan yang saksama.

Matlamat asal warga siber yang kononnya ingin memberi pengajaran, akhirnya berubah menjadi satu tindakan kezaliman baharu yang meragut maruah manusia di ruang siber.

Dari perspektif perundangan di Malaysia, mangsa doxing mempunyai ruang untuk menuntut keadilan. Walaupun tiada satu akta khusus yang dinamakan “Akta Doxing“, Kerajaan Malaysia mengguna pakai kerangka perundangan sedia ada yang komprehensif bagi menangani jenayah buli siber dan doxing ini.

Perbuatan doxing boleh disiasat mengikut beberapa peruntukan sedia ada termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta Seksyen 507E, 507F(1) dan Seksyen 507F(2) Kanun Keseksaan.

Selain itu, undang-undang keselamatan siber negara akan terus diperkasakan menjadi bukti komitmen kerajaan dalam membina ekosistem digital yang selamat dan bertanggungjawab.

Kunci utama bagi membendung penularan budaya doxing yang toksik ini, amalan kewarganegaraan digital yang utuh dan beretika perlu dibentuk dan dipupuk dalam kalangan masyarakat. Setiap pengguna internet perlu mempunyai literasi privasi siber yang tinggi serta kesedaran terhadap risiko siber.

Mengurus privasi bukan sahaja bermakna melindungi data peribadi sendiri daripada dicuri melalui amalan kata laluan yang selamat, penggunaan Virtual Private Network (VPN), dan kawalan had perkongsian, tetapi ia juga menuntut rasa hormat terhadap data peribadi orang lain.

Warga siber harus sedar dan menyerahkan tugas-tugas menghukum berlandaskan undang-undang kepada pihak berkuasa seperti PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Ia adalah jalan paling matang, berbanding mengambil tindakan sendiri di mahkamah siber yang sering berlaku di media sosial.

Kesimpulannya, dalam dunia digital yang tanpa sempadan ini, matlamat sama sekali tidak boleh menghalalkan cara. Niat yang murni untuk menegakkan keadilan tidak akan sesekali menjadi sah sekiranya dicapai melalui kaedah jenayah doxing yang zalim dan melanggar undang-undang.

Maruah manusia perlu dipertahankan di mana-mana sahaja, termasuklah di ruang siber. Sudah tiba masanya warga siber di Malaysia menolak budaya melancarkan serangan siber kepada pesalah dan kembali kepada etika kewarganegaraan digital yang berteraskan prinsip moral, menghormati privasi, serta patuh kepada kedaulatan undang-undang demi keselamatan siber bersama.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Ts. Mohd Fadzli Ishak
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP)
Kementerian Pendidikan Malaysia
E-mel: m.fadzli.ishak@moe.gov.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.