Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global jadi sumber rujukan awam mulai 15 Mei

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 Mei – Orang awam boleh memantau perkembangan semasa berkaitan krisis bekalan global menerusi Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global mulai 15 Mei ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Paparan mengandungi 10 submenu utama seperti tenaga, komoditi, kos sara hidup, prestasi ekonomi, kadar pertukaran dan aliran perdagangan.
  • Berfungsi sebagai sumber rujukan berpusat yang telus dan mudah diakses untuk pemantauan perkembangan krisis bekalan.
  • Paparan khas kerajaan digunakan untuk pemantauan dalaman, mengenal pasti risiko awal dan merangka strategi serta tindakan mitigasi berasaskan data hampir masa nyata.
  • Inisiatif ini satu peralihan penting dalam pengurusan krisis, membolehkan pengesanan awal, penyelarasan tindakan dan maklumat lebih jelas kepada rakyat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata paparan awam papan pemuka yang dibangunkan secara bersama oleh Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia itu (DOSM) merangkumi 10 submenu utama termasuk tenaga, komoditi, kos sara hidup, prestasi ekonomi, kadar pertukaran wang asing dan aliran perdagangan.

“Dashboard ini bertujuan menjadi sumber rujukan berpusat yang telus dan mudah diakses oleh orang awam dalam memantau perkembangan semasa berkaitan krisis bekalan global”, katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global di sini hari ini.

Beliau berkata paparan khas kerajaan pula akan digunakan sebagai platform pemantauan dalaman bagi menilai perkembangan krisis, mengenal pasti risiko awal serta merangka strategi dan tindakan mitigasi secara lebih tersusun berasaskan data yang hampir masa nyata.

Menurut beliau, perkara itu itu merupakan satu peralihan penting dalam cara kerajaan mengurus krisis.

“Berpandukan data hampir masa nyata untuk mengesan tekanan awal, menyelaras tindakan dan memberi maklumat yang lebih jelas kepada rakyat,” katanya.