Hantavirus belum dikesan merebak ke Asia – KKM

Foto RTM

PUTRAJAYA, 12 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memantau rapi penularan Hantavirus yang dilaporkan di beberapa negara Barat, namun setakat ini belum terdapat tanda wabak itu merebak ke rantau Asia.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKM menjalankan pemantauan berterusan bersama WHO dan agensi berkaitan.
  • Negara jiran mula melaksanakan kawalan terbaik susulan ciri Hantavirus yang melibatkan kapal air.
  • Pengalaman pandemik COVID-19 meningkatkan kewaspadaan untuk mengelakkan penularan tanpa kawalan.
  • KKM memperkukuh sistem kesihatan dengan menambah pakar geriatrik dan jururawat melalui kerjasama hospital serta institusi pendidikan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, pemantauan dijalankan secara berterusan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta agensi berkaitan.

“Kita tak nampak lagi indikasi ia sampai ke Asia. Alhamdulillah, keadaan masih terkawal tetapi kita melihat negara-negara jiran turut mula bertindak dengan melaksanakan kawalan terbaik kerana berdasarkan karakteristik yang menunjukkan Hantavirus ini melibatkan kapal air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2026 dan Seminar Kejururawatan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Katanya, pengalaman pandemik COVID-19 menjadikan semua pihak lebih berwaspada bagi mengelakkan penularan wabak tanpa kawalan.

“KKM akan meningkatkan langkah pemantauan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, KKM turut berusaha menambah bilangan pakar geriatrik dan jururawat melalui kerjasama dengan hospital kerajaan, swasta serta institusi pendidikan bagi memperkukuh sistem kesihatan negara.