
PUTRAJAYA, 12 Mei – Empat keutamaan dicadangkan Bank Dunia kepada Malaysia dalam menghadapi tekanan global yang berlaku secara berlapis melibatkan harga minyak, baja dan makanan.
- Menjamin bekalan tenaga dan memanjangkan daya tahan bekalan sedia ada.
- Memperkukuh ruang fiskal melalui penyesuaian dasar berhati-hati, bersasar dan sementara untuk melindungi rakyat.
- Mengurus permintaan tenaga serta menyasarkan sokongan kepada isi rumah dan perniagaan terkesan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, empat keutamaan itu ialah menjamin bekalan tenaga, memperkukuh ruang fiskal, mengurus permintaan tenaga serta menyasarkan sokongan kepada isi rumah dan perniagaan yang benar-benar terkesan.
“Cadangan World Bank tersebut disambut baik dan turut dibincangkan bahawa ianya selari dengan keputusan kerajaan melalui inisiatif yang sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan”, katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global di sini hari ini.
Menurut beliau, fokus kerajaan ketika ini adalah untuk menjamin bekalan, memanjangkan daya tahan bekalan sedia ada dan mengekang tekanan harga.
“Usaha sedang dibuat untuk menyelaras kawalan eksport bahan api tertentu, jaminan bekalan barangan keperluan, pengurusan kuota pembelian, penjimatan tenaga serta kerjasama rapat dengan industri,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata sebarang penyesuaian dasar akan dilaksanakan secara berhati-hati, bersasar dan bersifat sementara dengan keutamaan untuk melindungi rakyat serta memastikan kestabilan bekalan.