KPKT laksana “Simen Rahmah” bantu kos rumah mampu milik

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 Mei Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan inisiatif “Simen Rahmah” bagi membantu mengawal kos pembinaan rumah mampu milik yang semakin terkesan akibat kenaikan harga bahan binaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketidaktentuan global dan ketegangan geopolitik memberi tekanan kepada sektor pembinaan, menyebabkan turun naik harga simen, keluli dan besi tetulang.
  • KPKT bekerjasama dengan Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia menawarkan simen pada harga lebih rendah untuk projek rumah mampu milik bawah RM300,000 seunit.
  • Inisiatif dijangka menstabilkan kos pembinaan dan menyokong kelangsungan projek perumahan mampu milik di seluruh negara.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ketidaktentuan global termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat telah memberi tekanan kepada sektor pembinaan, khususnya melibatkan bahan asas seperti simen, keluli dan besi tetulang.

“Kami juga sedar kos pembinaan kini semakin meningkat susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

“Bahan binaan utama seperti keluli, simen dan besi tetulang antara yang dijangka mengalami turun naik harga sekiranya konflik berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pratonton dan sidang media ARCHIDEX 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Menurut beliau, KPKT kini bekerjasama dengan Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia untuk menawarkan simen pada harga lebih rendah.

“Kami mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama bersama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia untuk melaksanakan inisiatif ‘Simen Rahmah’ bagi semua projek rumah mampu milik yang berharga bawah RM300,000 seunit,” jelasnya.

Langkah itu dijangka memberi kesan langsung dalam menstabilkan kos pembinaan serta menyokong kelangsungan projek perumahan mampu milik di seluruh negara.