UM-RTM: Sukan medium terbaik eratkan hubungan IPT-media

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail (kiri), Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Perlawanan Persahabatan Pickleball UM–RTM menjadi simbol hubungan baik antara institusi pengajian tinggi (IPT) dengan pengamal media.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sukan dipilih sebagai medium utama untuk memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan pengamal media.
  • Kerjasama strategik antara universiti dan industri perlu dipertingkat bagi kekal relevan menghadapi cabaran era teknologi.
  • Program anjuran Comms dan Pusat Sukan UM mengeratkan hubungan pengurusan RTM-UM serta mempromosi perkongsian ilmu dan penyelidikan.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, sukan merupakan medium terbaik untuk memperkukuh hubungan sedia ada, sekali gus meneruskan legasi RTM sebagai penyiar utama negara yang turut berperanan menyokong pembangunan dan memartabatkan institusi pendidikan tinggi.

“Kita memilih sukan sebagai medium untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin. Paling penting, kita dapat saling mengenali dengan lebih dekat, khususnya dalam kalangan generasi baharu, termasuk barisan pensyarah dan kepimpinan Universiti Malaya (UM) yang lebih dinamik.

“Selain perbincangan di peringkat domestik dan antarabangsa, kita turut memilih pendekatan sukan untuk memperkukuh hubungan strategik yang sedia ada,” katanya pada program perlawanan persahabatan Pickleball yang berlangsung di arena UM-Las Palmas, Universiti Malaya.

Tambah Datuk Ashwad, hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dan industri perlu terus dipertingkat bagi memastikan kerjasama kekal relevan dalam mendepani cabaran era teknologi.

“Universiti, tenaga pengajar, guru serta generasi muda yang berada di institusi pengajian tinggi dan industri memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Hubungan antara semua pihak ini perlu sentiasa diperkukuh dan diperbaharui bagi menghadapi era baharu yang semakin mencabar, khususnya dalam perkembangan teknologi.

“Walaupun teknologi terus berkembang, hubungan sesama insan tetap penting dan perlu dibina melalui interaksi serta persefahaman. Sukan merupakan antara medium terbaik untuk merapatkan hubungan dan mengenali satu sama lain dengan lebih dekat,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, bersempena ulangtahun Universiti Malaya ke 121, adalah penting memastikan dinamika persahabatan kedua organisasi berkenaan kekal kukuh.

“UM bukan sahaja aktif dalam bidang akademik, malah hubungan dengan industri juga memainkan peranan penting. Menerusi pertemuan bersama RTM, kita berpeluang mengenali industri media dengan lebih dekat, bukan sahaja dari sudut yang biasa dilihat, tetapi juga melalui aspek kesukanan.

“Sukan menjadi medium yang mampu mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan industri, khususnya antara UM dan RTM,” katanya.

Menurutnya, hubungan erat antara universiti dan organisasi media memainkan peranan penting dalam memastikan ilmu, kepakaran dan hasil penyelidikan universiti dapat dikongsikan dengan masyarakat secara lebih meluas dan bermakna.

Program anjuran Bahagian Komunikasi Korporat (Comms) dan Pusat Sukan Universiti Malaya meghimpunkan barisan pengurusan dan warga RTM-UM dengan semangat kesukanan sekali gus membuka ruang mengeratkan hubungan di luar urusan rasmi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.