Bekalan beras mencukupi hingga hujung tahun

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

SRI AMAN, 9 April – Bekalan beras negara dijangka kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menasihati orang ramai supaya tidak panik atau membeli berlebihan; beli mengikut keperluan supaya bekalan tidak merosot.
  • Harga beras kekal kompetitif dan lebih murah berbanding negara jiran, membantu menstabilkan bekalan domestik.
  • Kerajaan memantau rapi situasi bekalan dan harga serta sedang menangani isu bekalan di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, orang ramai tidak perlu panik atau melakukan pembelian berlebihan kerana bekalan semasa berada dalam keadaan terkawal.

Beliau juga berkata, harga beras di negara ini masih kompetitif dan lebih murah berbanding beberapa negara jiran, sekali gus membantu memastikan kestabilan bekalan domestik.

“Kalau makan sebulan dua kampit kekalkan beli dua kampit, jangan beli empat atau lima kampit. Pembelian secara berlebihan boleh menyebabkan kemerosotan bekalan, menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga,” katanya.

Datuk Seri Mohamad berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Gelombang Padi Sarawak, Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan Hari Bersama Pelanggan AIDA Batang Lupar 2026 di Dewan Sri Nangkai, Geran Stumbin di sini.

Menurutnya, kerajaan sentiasa memantau rapi situasi bekalan dan harga beras bagi memastikan ia kekal stabil demi kepentingan pengguna.

Mengenai beberapa isu berkaitan bekalan beras yang timbul di Sabah dan Sarawak, beliau berkata, ia sedang ditangani.