
KUALA LUMPUR, 12 Mei– Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus perkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara menerusi penganjuran Program PDRM Special Dialogue V (PSD V) 2026 yang menghimpunkan pelbagai agensi keselamatan, industri dan akademik.
- Tema "Synergized Policing" relevan, fokus cabaran moden seperti jenayah siber, penipuan kewangan digital, sindiket terancang.
- KDN sokong PDRM melalui dasar progresif dan pemodenan teknologi untuk menjaga kesiapsiagaan dan responsif pasukan.
- Pembaharuan Memorandum Perjanjian PDRM-USM dalam Sains Forensik mengukuh kepakaran teknikal dan penyiasatan jenayah.
- Pendekatan bersepadu menyatukan JSJK, JSJ, JSJN serta jabatan berkepentingan bagi wujudkan sinergi siasatan dan keselamatan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata tema “Synergized Policing: Securing the Future Together” amat bertepatan dengan cabaran keselamatan masa kini termasuk jenayah siber, penipuan kewangan digital dan sindiket jenayah terancang.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) menzahirkan komitmen berterusan dalam menyokong PDRM menerusi pelaksanaan dasar progresif dan pemodenan aset teknologi.”
“Langkah ini bagi memastikan pasukan sang saka biru kekal tangkas, responsif, serta sentiasa bersiaga mendepani sebarang ancaman yang boleh menggugat kestabilan nasional,” kata Datuk Seri Dr. Shamsul.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian PDRM Special Dialogue (PSD) Ke-5 di ibu negara, hari ini.
Sepanjang dua hari program berlangsung, sebanyak 31 sesi forum, bengkel teknikal dan pameran diadakan melibatkan lebih 3,000 peserta termasuk 200 delegasi kenamaan dan 135 syarikat tempatan serta antarabangsa.
Pada majlis sama, pembaharuan Memorandum Perjanjian antara PDRM dan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sains Forensik turut dimeterai bagi memperkukuh kepakaran teknikal dan penyiasatan jenayah negara.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata penganjuran PSD kali kelima itu menjadi platform penting dalam memperkukuh mutu perkhidmatan serta memperkemas corak siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita memperkukuh kolaborasi melibatkan semua jabatan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jika sebelum ini kita bergerak secara berasingan mengikut fungsi jabatan, namun tahun ini kita menyatukan penglibatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta jabatan berkepentingan lain.”
“Pendekatan secara bersepadu ini bertujuan mewujudkan sinergi yang lebih menyeluruh dalam menangani setiap isu siasatan dan keselamatan negara,” kata Datuk Seri Mohd Khalid kepada pemberita.
Tambahnya, program itu turut memperlihatkan pendekatan lebih menyeluruh menerusi kerjasama pelbagai jabatan dan agensi dalam PDRM bagi memastikan aspek keselamatan negara dapat ditangani secara lebih bersepadu.