Salam Baitullah Unplugged tampil lebih segar

KC Rozaimee

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Program kerohanian RTM, Salam Baitullah Unplugged: Benda Baik Kita Borak akan bersiaran pada pukul 7.45 malam menerusi media sosial rasmi program itu dengan menampilkan pendekatan lebih segar bersama pempengaruh, selebriti dan tokoh jemputan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tema "Jihad Yang Terindah" menekankan perjuangan dalam kehidupan seharian dan perjalanan menuju tanah suci.
  • Musim ke-18 dikendalikan Jalal Zaiki dan Izmeer Fareez; Salam Baitullah Unplugged dihoskan Tajdid Hadhari Romli.
  • Lagu tema rasmi ditulis Rafidah Kamaludin, dinyanyikan Lah Ahmad bersama Orkestra RTM; produksi bermula Julai lalu.

Penerbit Salam Baitullah Unplugged 2026 KC Rozaimee berkata, konsep berkenaan memfokuskan terhadap perjuangan dalam kehidupan seharian selain perjalanan menuju tanah suci selain dilihat lebih dekat dengan realiti masyarakat masa kini khususnya golongan muda.

“Tema Jihad YangTerindah untuk tahun ni, kita lebih kepada bukan semata-mata perjuangan dalam perpulangan, tapi kita perjuangkan dalam kehidupan kita seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu pemberita selepas Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Pengacara Salam Baitullah 2026 akan diterajui Jalal Zaiki dan Izmeer Fareez manakala Salam Baitullah Unplugged (Medsos) akan dihoskan Tajdid Hadhari Romli.

Selain itu media sosial dijadikan platform utama untuk menarik minat generasi muda terhadap program berbentuk ilmiah dan kerohanian.

“Tujuan kita adalah untuk mendekatkan golongan Gen Z dan anak muda dengan media sosial. Kita tahu sekarang media sosial memainkan peranan yang sangat penting, jadi itu medium terbaik untuk kita dekati golongan muda,” katanya.

Pelbagai kandungan berkaitan kekeluargaan, masyarakat dan pengurusan kehidupan seharian turut diketengahkan menerusi platform digital bagi memastikan mesej dakwah lebih mudah diterima golongan itu.

Program yang diterbitkan sejak tahun 2009 itu turut memperkenalkan lagu tema rasmi buat pertama kali bagi musim ini.

Penghasilan lagu tema rasmi yang ditulis sendiri penerbit Salam Baitullah, Rafidah Kamaludin itu dinyanyikan penyanyi Lah Ahmad.

Lebih istimewa, lagu tersebut turut dirakam bersama Orkestra RTM melibatkan kira-kira 17 pemuzik.

Persiapan penerbitan musim ke-18 itu juga telah dimulakan sejak Julai tahun lalu bagi memastikan penghasilan kandungan yang lebih berkualiti dan dekat dengan penonton.

Pihak produksi berharap program Salam Baitullah musim ke-18 terus menambat hati penonton selain mengekalkan reputasinya sebagai antara program utama RTM sepanjang musim haji kali ini.

Program tersebut akan bersiaran secara langsung mulai 13 Mei hingga 27 Mei 2026, pada pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam, di TV1.

Musim ini, Salam Baitullah menampilkan enam segmen utama iaitu Khabar Tanah Suci, Duyufurrahman, Al-Bayan, Rehlah Haramain, Kapsul Haji dan segmen baharu Istiqamah, yang disusun bagi membawa penonton menelusuri perjalanan ibadah haji secara lebih menyeluruh.