
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 akan memberi tumpuan khusus kepada peluang pekerjaan dan literasi kewangan bagi memastikan sambutan tahun ini lebih relevan dengan realiti kehidupan golongan muda.
- Kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan sektor swasta tingkatkan akses maklumat dan sokongan bagi pembangunan bakat belia.
- HBN 2026 dijadikan platform memperluas maklumat bantuan dan perkhidmatan kerajaan untuk bantu belia hadapi cabaran ekonomi dan pemodenan.
- Aktiviti meliputi pembangunan belia, inovasi digital, sukan, kepimpinan dan program komuniti untuk memperkasakan belia menghadapi masa depan.
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Abidin berkata, pelbagai segmen berkaitan kerjaya dan pembangunan bakat disediakan bagi membantu belia meneroka peluang pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.
Usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan sektor swasta bagi menyediakan akses terus kepada maklumat kerjaya.
“Kita menyediakan segmen penciptaan peluang pekerjaan kerana sedar bahawa setelah tamat pengajian, kerjaya adalah elemen ekonomi paling penting yang dicari oleh anak muda.
“Justeru, melalui kerjasama pelbagai agensi, kita memberi ruang kepada mereka untuk meneroka peluang yang ada secara terus,” katanya dalam sesi temu bual selepas program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau mengakui cabaran ekonomi semasa merupakan antara isu utama yang membelenggu golongan belia.
Sehubungan itu, HBN 2026 dijadikan platform untuk memperluas maklumat mengenai bantuan dan perkhidmatan kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh mereka dalam mendepani arus pemodenan.
“Ekonomi memainkan peranan penting dalam kesejahteraan belia. Apa yang kita ketengahkan kali ini adalah penyampaian maklumat tentang apa yang sedang berlaku dalam negara dan peluang yang boleh mereka rebut,” jelas beliau.
Selain kerjaya, aspek literasi kewangan turut diberi penekanan bagi mendidik golongan muda menguruskan perbelanjaan dengan bijak serta memahami peranan mereka dalam mengekalkan kelestarian ekonomi peribadi.
Sambutan Hari Belia Negara 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 17 Mei ini di Sendayan, Negeri Sembilan.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun merangkumi pembangunan belia, inovasi digital, sukan, kepimpinan, serta program komuniti yang diharap dapat membantu belia mendepani cabaran masa depan dengan lebih yakin.