Aspek tanggungan, kos sara hidup boleh diambil kira dalam penentuan garis pemisah subsidi petrol

Foto arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pelbagai faktor boleh diteliti dalam menentukan garis pemisah bagi penerima subsidi petrol termasuk aspek tanggungan isi rumah, lokasi tempat tinggal dan kos sara hidup semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gunakan data bersepadu (sistem PADU) untuk menilai kelayakan subsidi secara lebih tepat, mengambil kira komitmen kewangan sebenar setiap isi rumah.
  • Berikan tempoh penyesuaian dan sokongan alternatif seperti kenderaan elektrik, kenderaan jimat bahan api dan akses pengangkutan awam lebih dekat.
  • Perkukuh mekanisme pengesahan dengan menghubungkan kad pengenalan kepada pangkalan data pemilikan kenderaan bagi mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan subsidi.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata, penentuan kelayakan bagi subsidi berkenaan tidak boleh hanya tertumpu kepada klasifikasi pendapatan susulan ia tidak menggambarkan sepenuhnya situasi kewangan sebenar setiap isi rumah.

“Kita memerlukan data yang lebih bersepadu seperti yang dicadangkan menerusi sistem PADU, dengan mengambil kira faktor kawasan atau lokasi tempat tinggal serta jumlah tanggungan yang ditanggung.

“Ini kerana walaupun seseorang itu dikategorikan dalam kumpulan M40 atau T20, mereka mungkin mempunyai komitmen kewangan dan kos sara hidup yang tinggi bergantung kepada lokasi serta tanggungan masing-masing.

“Justeru, kajian lebih mendalam perlu dilakukan melalui sesi libat urus bagi menetapkan kategori yang lebih terperinci,” katanya kepada pemberita RTM.

Menurut beliau lagi, golongan yang tidak lagi layak menerima subsidi juga perlu diberikan tempoh penyesuaian berserta sokongan alternatif bagi mengurangkan kesan pelaksanaan penyasaran subsidi.

“Diharapkan dengan adanya rasionalisasi subsidi ini, golongan yang tidak lagi layak menerima subsidi bahan api dapat mempunyai pilihan alternatif.

“Contohnya, seperti penggunaan kenderaan elektrik (EV) atau kenderaan jimat tenaga dan jimat minyak, selain akses kepada pengangkutan awam yang lebih dekat dengan tempat kerja serta kediaman mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, katanya, mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar itu juga perlu diperkukuh dengan sistem pengesahan lebih bersepadu.

Ini termasuk penggunaan kad pengenalan yang dihubungkan dengan pangkalan data pemilikan kenderaan bagi mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan subsidi.

Langkah ini penting dalam usaha menangani isu ketirisan subsidi, selain menyokong rasionalisasi subsidi secara lebih mampan dalam masa jangka panjang.

Terdahulu Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir semalam memaklumkan, kerajaan sedang memperhalusi penentuan garis pemisah yang sesuai antara golongan yang wajar menerima subsidi petrol dan mereka yang boleh dikeluarkan daripada sistem subsidi berkenaan. Antara aspek yang sedang diteliti ialah penentuan garis pemisah yang sesuai antara golongan berkenaan.

Sementara Ahad lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol, namun belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.