Pembangunan belia luar bandar: NGO, agensi kerajaan perlu perkasa kerjasama

Foto BERNAMA

NAKA, 12 Mei– Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan digesa memperkukuh kerjasama dalam menganjurkan program pembangunan belia, khususnya di kawasan luar bandar bagi memastikan golongan tersebut mempunyai hala tuju masa depan yang lebih jelas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belia disaran manfaatkan TVET dan pendidikan kemahiran bagi membuka ruang kerjaya selaras minat dan bakat.
  • Sambutan Hari Belia Negara 2026 di IKBN Naka mengumpulkan belia dan masyarakat melalui aktiviti bermanfaat serta santai.
  • Pelbagai aktiviti seperti e-Sukan, persembahan, sukan tradisional, pemeriksaan kesihatan dan pameran menarik pengunjung.
  • KEDA serta Kolej KEDA menyediakan taklimat dan platform TVET untuk membantu belia luar bandar capai kejayaan kerjaya.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata golongan belia perlu terus berusaha membina masa depan yang lebih cemerlang melalui pendidikan kemahiran dan latihan teknikal.

“Golongan belia disaran agar memanfaatkan sepenuhnya peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mampu membuka ruang kerjaya yang luas, selaras dengan minat serta bakat masing-masing,” katanya.

Datuk Seri Mahdzir berucap demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 peringkat Daerah Padang Terap di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Padang Terap.

Program anjuran Pejabat Belia Daerah Padang Terap itu berjaya menghimpunkan golongan belia serta masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti bermanfaat dan santai.

Antaranya Fun Run Challenge, aerobik perdana, persembahan busking, e-Sukan, pertandingan karom, memanah tradisional, persembahan silat, pameran agensi, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan mewarna kanak-kanak.

Selain itu, Jualan Rahmah MADANI yang diadakan turut menerima sambutan luar biasa daripada penduduk sekitar.

KEDA turut bersama menjayakan program berkenaan menerusi pameran bergerak yang memberi penerangan berkaitan peluang pendidikan kemahiran dan TVET kepada golongan belia.

Antara yang menjadi tumpuan pengunjung ialah taklimat mengenai kursus-kursus teknikal di Kolej KEDA yang dirangka khusus sebagai platform kejayaan belia luar bandar.

Program tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa setiap belia mempunyai potensi untuk berjaya sekiranya diberikan peluang dan bimbingan dalam bidang yang diminati.