
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang 4.8 peratus pada 2026 sekiranya konflik di Asia Barat berakhir menjelang Jun, disokong oleh permintaan domestik yang stabil, peningkatan aktiviti pelaburan serta reformasi ekonomi yang berterusan, menurut Affin Bank Berhad.
- Aliran pelaburan global beralih ke Asia, menjadikan rantau ini pemacu utama modal dan pertumbuhan ekonomi antarabangsa.
- ASEAN kini strategik dengan demografi menguntungkan, infrastruktur bertambah baik dan rantaian bekalan dipelbagaikan untuk mengurangkan risiko.
- Malaysia berdaya tahan: inflasi rendah dijangka, dasar monetari menyokong, ringgit kukuh dan eksport mencatat prestasi yang mengukuhkan asas ekonomi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Wan Razly Abdullah, berkata perkembangan itu seiring dengan perubahan aliran pelaburan global yang kini semakin beralih ke rantau Asia.
“Jumlah aset di bawah pengurusan global kini mencecah kira-kira US$147 trilion, dengan Asia menyumbang hampir US$40 trilion.
“Ini mencerminkan peningkatan kepentingan Asia dalam membentuk hala tuju modal dan pertumbuhan ekonomi global,” katanya dalam ucapan pada Affin Market Outlook 2026 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan itu, beliau berkata ASEAN kini muncul sebagai antara rantau paling strategik di dunia apabila perniagaan semakin mempelbagaikan rantaian bekalan bagi mengurangkan risiko kebergantungan.
Katanya, rantau itu terus mendapat manfaat daripada struktur demografi yang memberangsangkan, peningkatan kelas pertengahan, penambahbaikan infrastruktur serta kedudukan geopolitik yang lebih seimbang dalam persekitaran global yang semakin berpecah.
“Lebih penting, ASEAN bukan lagi sekadar bertindak balas terhadap perubahan global, sebaliknya kini menjadi pemacu utama kepada daya tahan jangka panjang, pelaburan dan pertumbuhan mampan,” katanya.
Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat tersebut susulan kelebihan struktur seperti sumber asli, jaminan bekalan makanan dan keupayaan tenaga.
Wan Razly berkata, inflasi Malaysia dijangka kekal sekitar 1.7 peratus, namun ketidaktentuan dari sudut bekalan berpotensi memberi tekanan kenaikan harga.
Sementara itu, keadaan monetari kekal menyokong dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berada pada 2.75 peratus.
Ringgit pula kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan global yang tinggi, selepas mengukuh kepada RM3.92 berbanding dolar AS pada awal tahun ini.
Affin Bank Berhad turut menyasarkan ringgit mengukuh kepada RM3.80 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, disokong oleh asas pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh serta pembaharuan fiskal yang berterusan.
Pada masa sama, Wan Razly berkata, petunjuk ekonomi Malaysia secara keseluruhan kekal memberangsangkan walaupun ketidaktentuan geopolitik meningkat, dengan permintaan domestik yang kukuh, pelaburan yang semakin baik serta sektor utama yang kekal berdaya tahan.
“Bagi sektor luaran, eksport turut kekal menyokong dengan purata RM123 bilion pada 2025. Pada 2026, eksport telah mencecah RM147 bilion sebulan, mencatat rekod tertinggi pada Januari 2026, meningkat 19.6 peratus tahun ke tahun,” katanya.
Beliau berkata, petunjuk tersebut mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap trajektori ekonomi Malaysia serta mengukuhkan asas daya tahan ekonomi negara.