PMI pembuatan tertinggi dalam tempoh empat tahun, isyarat pengembangan ekonomi Malaysia

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 12 Mei – Momentum pertumbuhan sektor pembuatan Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia meningkat kepada 51.6 pada April 2026, paras tertinggi dalam tempoh empat tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bacaan PMI melebihi 50 menunjukkan sektor pembuatan dalam fasa pengembangan, disokong permintaan, aktiviti pengeluaran dan keyakinan firma.
  • Firma mula membina stok keselamatan dan menghadapi tempoh penghantaran pembekal lebih panjang, memaksa penyesuaian operasi akibat risiko rantaian bekalan dan kos input meningkat.
  • Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat pada Mac 2026, dipacu pertumbuhan pembuatan dalam subsektor eksport seperti komputer, produk elektronik dan optikal.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bacaan melebihi paras 50 menunjukkan aktiviti sektor pembuatan berada dalam fasa pengembangan, disokong oleh peningkatan permintaan, aktiviti pengeluaran serta keyakinan firma.

Menurut beliau, PMI pembuatan meningkat daripada 50.7 pada Mac 2026 kepada 51.6 pada April 2026.

Bagaimanapun, laporan itu turut menunjukkan firma pembuatan mula membina stok keselamatan dan berdepan tempoh penghantaran pembekal yang semakin panjang.

“Ini menunjukkan sektor pembuatan masih berada dalam fasa pengembangan, namun sedang menyesuaikan operasi berikutan risiko rantaian bekalan serta kos input yang semakin meningkat,” katanya pada taklimat Krisis Bekalan Global di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah berkata Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 3.1 peratus pada Mac 2026 dipacu pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 5.5 peratus.

“Ini petanda aktiviti perindustrian negara masih bergerak, khususnya dalam subsektor berorientasikan eksport seperti komputer, produk elektronik dan optikal, walaupun berdepan tekanan luaran dalam aspek tenaga, logistik dan input pengeluaran,” katanya.