
PUTRAJAYA, 12 Mei – Kedudukan ekonomi Malaysia kekal stabil meskipun dunia terus berdepan ketidaktentuan susulan krisis bekalan global dan risiko geopolitik yang berpanjangan.
- Bank Negara mengekalkan OPR pada 2.75%; inflasi keseluruhan 1.6% dan inflasi teras 2.1% pada suku pertama 2026.
- Anggaran awal KDNK suku pertama 2026 mencatat pertumbuhan 5.3% menunjukkan landasan pertumbuhan negara kukuh.
- Pasaran ekuiti menyaksikan momentum positif dan komoditi utama kelapa sawit serta getah mencatat kenaikan harga.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada 7 Mei 2026, manakala inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.6 peratus dan 2.1 peratus pada suku pertama tahun ini.
Beliau berkata anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 pula menunjukkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus.
“Angka ini memberi isyarat bahawa ekonomi negara masih berada pada landasan pertumbuhan yang baik, dengan tekanan harga yang masih terkawal,” katanya pada taklimat Krisis Bekalan Global di sini hari ini.
Menurut beliau, pasaran ekuiti tempatan turut mengekalkan momentum positif sepanjang minggu pelaporan 4 hingga 8 Mei 2026 apabila FBM KLCI ditutup pada paras 1,748.06 mata pada 8 Mei 2026, meningkat 2.1 peratus berbanding minggu sebelumnya.
“Dalam keadaan rantaian bekalan global yang masih tidak menentu, prestasi ini menunjukkan pasaran domestik masih disokong oleh sentimen pelaburan yang baik dan keyakinan terhadap asas ekonomi negara,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata dua komoditi utama negara iaitu kelapa sawit dan getah turut mencatatkan perkembangan positif sepanjang tempoh sama.
Menurut beliau, purata harga kelapa sawit meningkat 1.2 peratus kepada RM4,558 satu tan manakala purata harga getah meningkat 2.3 peratus kepada 874 sen sekilogram.