
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) menjana ekuiti Bumiputera sebanyak RM7.1 bilion menerusi pelaburan berjumlah RM5.1 bilion dalam 49 syarikat portfolionya, dengan hasil terkumpul mencecah RM5.7 bilion sejak penubuhannya.
- Ekuinas merekodkan jumlah nilai pemegang saham sebanyak RM8.5 bilion, disokong prestasi portfolio yang kukuh dan berkembang.
- Mencapai sejarah 'Relay Race' Bumiputera melalui pemindahan 60 peratus pegangan Orkim kepada PNB selepas IPO, menghasilkan hasil kasar dan dividen. <liMemperkukuh fokus strategik: sektor penjagaan kesihatan meningkat kepada 29% portfolio, serta tumpuan ekuiti, kredit persendirian dan pembinaan kapasiti.
Syarikat itu turut merekodkan jumlah nilai pemegang saham sebanyak RM8.5 bilion, disokong prestasi portfolio yang terus kukuh dan berkembang.
Prestasi berkenaan turut dipacu pengukuhan portfolio strategik, termasuk sektor penjagaan kesihatan yang meningkat kepada 29 peratus daripada portfolio aktif Ekuinas pada 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, pencapaian syarikat pada 2025 mencerminkan evolusi berterusan Ekuinas sebagai pelabur modal persendirian bersepadu yang menyokong syarikat pasaran pertengahan Malaysia dalam pelbagai peringkat pertumbuhan.
Malah Ekuinas mencatat sejarah sebagai pencapaian pertama ‘Relay Race’ Bumiputera di bawah ekosistem syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) susulan pemindahan pegangan sebanyak 60 peratus dalam Orkim Berhad kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) selepas tawaran awam permulaan (IPO) pengendali kapal tangki itu.
Menurut Laporan Impak 2025 Ekuinas yang dikeluarkan hari ini, transaksi yang dimuktamadkan selepas perjalanan pelaburan Ekuinas selama 11 tahun dalam Orkim itu menjana hasil kasar sebanyak RM828 juta, dengan RM350 juta daripadanya diagihkan sebagai dividen kepada PNB untuk manfaat pemegang unit amanahnya.
“Dengan mengukuhkan tumpuan kami dalam ekuiti persendirian, kredit persendirian dan Capacity Building, serta kejayaan mencapai mercu tanda Bumiputera ‘Relay Race’ pertama menerusi IPO Orkim Berhad, kami membuktikan bagaimana nilai boleh dicipta, dikekalkan dan dipindahkan kepada institusi lebih besar dalam ekosistem pelaburan negara bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.
“Sebagai sebahagian daripada ekosistem GLIC, kami terus bergerak seiring dengan keutamaan agenda nasional seperti GEAR-uP, sambil mengekalkan disiplin dalam menjana impak dan pulangan jangka panjang,” menurut Laporan Impak Ekuinas 2025.
Dalam masa sama, peratusan kakitangan Bumiputera yang memegang jawatan pengurusan dalam syarikat portfolio Ekuinas turut meningkat kepada 36.9 peratus, mencerminkan usaha berterusan memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor korporat dan perniagaan negara.
Menerusi laporan itu, Ekuinas menunjukkan peralihan dan perkembangan positif dalam usaha memperluas peranannya dalam ekosistem pelaburan Malaysia, berlandaskan tiga teras penciptaan nilai iaitu ekuiti persendirian, kredit persendirian dan pembinaan kapasiti.
Ekuiti persendirian kekal menjadi tonggak utama strategi Ekuinas dengan tumpuan terhadap usaha mengubah syarikat berpotensi tinggi menjadi peneraju pasaran menerusi pemilikan aktif.
Manakala, pembinaan kapasiti adalah bagi menyokong syarikat Bumiputera pasaran pertengahan menerusi bantuan bukan kewangan secara berstruktur dalam tempoh tiga tahun, termasuk memperkukuh kepimpinan, tadbir urus dan keupayaan operasi.