Malaysia tidak perlu rangsangan ekonomi – Bank Dunia

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi

KUALA LUMPUR, 9 April – Malaysia tidak memerlukan rangsangan ekonomi walaupun berdepan krisis Asia Barat, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemberian rangsangan kini berisiko menaikkan tekanan inflasi yang masih terkawal.
  • Inflasi kekal stabil 1.6% pada Jan 2026; BNM memantau pelaksanaan dasar dan menyesuaikan OPR.
  • Isyarat pasaran bon tiga dan sepuluh tahun menunjukkan jangkaan inflasi terkawal, meletakkan negara dalam kedudukan kukuh.

Menurutnya, pemberian rangsangan pada ketika ini hanya akan menambah tekanan terhadap inflasi negara yang masih stabil dan terkawal.

“Setakat ini, rangsangan tidak diperlukan. Memberikan rangsangan sekarang hanya akan menambah dorongan inflasi.

“Rangsangan hanya diperlukan jika kebimbangan inflasi berkembang sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi, seperti yang berlaku semasa krisis COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Bahagian 1 Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) April 2026 bertajuk ‘Raising the Ceiling, Raising the Floor, Advancing Malaysia’s Jobs and Productivity Agenda’ di sini.

Dr Apurva memaklumkan, inflasi Malaysia kekal stabil dan terkawal, mencatat 1.6 peratus pada Januari 2026.

Pencapaian itu adalah hasil usaha Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memantau dan menilai pelaksanaan langkah dasar serta penyesuaian Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi mencerminkan keadaan domestik.

Jelas beliau, walaupun tekanan inflasi mungkin wujud, dasar dan langkah kerajaan membantu rakyat menghadapi situasi tersebut.

“Terdapat cara untuk mengurus permintaan berkenaan, dan kerajaan telah mengumumkan beberapa dasar. Setakat ini, semua data dan bukti menunjukkan inflasi kekal stabil,” katanya.

Tambah beliau, isyarat pasaran daripada hasil bon tiga tahun dan sepuluh tahun menunjukkan inflasi dijangka terkawal, menempatkan Malaysia dalam kedudukan kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global seperti konflik Asia Barat.