
KUALA LUMPUR, 9 April – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyambut baik pendirian industri perbankan yang kekal kukuh serta komited dalam menyokong pelanggan ketika ketidaktentuan global dan krisis tenaga berterusan.
- Peranan bank sebagai penampan ekonomi; sokongan modal kerja penting untuk mengekalkan keyakinan dan kesinambungan operasi PKS.
- Bantuan seperti moratorium perlu disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan dan disertai peningkatan literasi kewangan.
- Galakan penerokaan pasaran baru dan sokongan peralihan digital serta tenaga hijau melalui pinjaman kadar rendah atau geran padanan.
Presidennya, Datuk William Ng berkata, peranan institusi perbankan sebagai penampan tekanan ekonomi amat penting dalam membantu perniagaan mengharungi cabaran, khususnya susulan gangguan rantaian bekalan global akibat konflik di Asia Barat.
“Dalam mendepani ketidaktentuan global, peranan bank sebagai penampan tekanan ekonomi amat dialu-alukan, khususnya dalam mengurangkan impak konflik Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan global.
“Keyakinan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pula banyak bergantung kepada ketersediaan modal kerja dan apabila bank terus menyediakan sokongan, perniagaan mempunyai ruang untuk beroperasi dengan lebih tenang tanpa panik,” katanya dalam hantaran video kepada RTM.
Menurut beliau, keyakinan PKS banyak bergantung kepada akses terhadap modal kerja.
Sehubungan itu, sokongan berterusan daripada institusi kewangan mampu memastikan kelangsungan perniagaan dalam tempoh mencabar ini.
Bagaimanapun, SAMENTA menegaskan bahawa bantuan seperti moratorium tidak wajar dilaksanakan secara menyeluruh, sebaliknya perlu disasarkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan bagi mengelak risiko penangguhan masalah kewangan pada masa hadapan.
Selain itu, sebarang bantuan juga perlu disertai dengan peningkatan literasi kewangan supaya usahawan tidak terperangkap dalam beban hutang yang berpanjangan.
Pada masa sama, PKS digalakkan meneroka pasaran baharu termasuk Asia Tengah dan Afrika bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tradisional.
SAMENTA turut menggesa sokongan diberikan kepada peralihan digital dan penggunaan tenaga hijau melalui kemudahan seperti pinjaman kadar faedah rendah atau geran padanan.
Langkah ini dilihat penting dalam membantu perniagaan mengurangkan kebergantungan kepada kos tenaga yang tinggi, yang dijangka kekal mencabar dalam jangka panjang.