Pasaran getah ditutup bercampur-campur menjejaki niaga hadapan serantau

Foto fail

KUALA LUMPUR, 9 April -Pasaran getah Kuala Lumpur kekal bercampur-campur ketika ditutup pada Khamis, sejajar dengan niaga hadapan getah serantau susulan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Niaga hadapan Jepun jatuh akibat kebimbangan gencatan senjata Asia Barat yang rapuh dan tekanan inflasi, manakala pasaran saham Asia turut merosot.
  • Penurunan terhad oleh kenaikan harga minyak, daya tahan ekonomi China dan kebimbangan bekalan di negara pengeluar utama.
  • Pedagang memantau data ekonomi AS, trend inflasi dan hala tuju dasar Rizab Persekutuan; bank jangka China kekal kadar faedah 2026.

Peniaga itu berkata niaga hadapan getah Jepun jatuh pada Khamis disebabkan kebimbangan mengenai gencatan senjata Asia Barat yang rapuh dan tekanan inflasi, manakala pasaran saham Asia merosot selepas Iran menyifatkan perbincangan gencatan senjata sebagai “tidak munasabah” berikutan serangan Israel yang berterusan ke atas Lubnan.

“Bagaimanapun, penurunan menjadi terhad disebabkan kenaikan harga minyak mentah, tanda-tanda ekonomi China yang berdaya tahan dan kebimbangan berterusan mengenai bekalan bahan mentah yang terbatas di negara pengeluar utama,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak pulih pada Khamis selepas mencatatkan penurunan harian terbesar sejak April 2020, susulan kemungkinan gangguan di Selat Hormuz dan serangan Israel ke atas Lubnan akan mengancam gencatan senjata yang sudah sedia goyah.

Buat masa ini, harga minyak mentah Brent meningkat 3.57 peratus kepada US$98.13 setong.

Peniaga itu berkata, di tengah-tengah tahap kewaspadaan yang meningkat berhubung konflik di Asia Barat, para pedagang sedang memantau dengan teliti data-data ekonomi AS, trend inflasi dan hala tuju dasar Rizab Persekutuan.

Sementara itu, bank-bank global kini menjangka China mengekalkan kadar faedah pada paras sedia ada untuk 2026, mencerminkan daya tahan ekonomi walaupun terdapat gangguan di Asia Barat dan menyokong prospek pertumbuhan yang positif.

Pada 3 petang, Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 susut 5.5 sen kepada 831.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik tiga sen kepada 751.5 sen sekilogram. – BERNAMA