Bank Dunia naikkan unjuran pertumbuhan 2026 Malaysia kepada 4.4 peratus

Dr Apurva Sanghi/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 April – Kumpulan Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk 2026 kepada 4.4 peratus daripada 4.1 peratus berdasarkan permintaan domestik yang berdaya tahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan swasta menjadi pemacu utama, disokong pasaran tenaga kerja yang kukuh, kenaikan gaji dan sokongan pendapatan kerajaan.
  • Ketidaktentuan luaran seperti konflik Asia Barat meningkatkan harga minyak, baja dan kos penghantaran LNG serta menjejaskan prospek eksport.
  • Kebimbangan tarif Amerika Syarikat dan peralihan eksport China menuntut peningkatan inovasi dan langkah bersasar, bukan sekatan perdagangan menyeluruh.

Ketua Ahli Ekonominya bagi Malaysia Dr Apurva Sanghi berkata pertumbuhan akan didorong terutamanya oleh penggunaan swasta, disokong oleh keadaan pasaran tenaga kerja yang menggalakkan, kenaikan gaji dan langkah-langkah sokongan pendapatan oleh kerajaan.

“Kami menjangka permintaan domestik akan kekal kukuh tahun ini berikutan dinamik pasaran tenaga kerja yang menggalakkan serta sokongan kerajaan yang berterusan apabila diperlukan.

“Oleh itu, penggunaan swasta terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat mengenai Bahagian 1 Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) April 2026 Bank Dunia, bertajuk ‘Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai, Memacu Agenda Pekerjaan dan Produktiviti Malaysia’ di ibu negara.

Unjuran pertumbuhan Malaysia bagi 2026 adalah lebih tinggi berbanding pertumbuhan serantau sebanyak 4.2 peratus, walaupun prospek turut dipengaruhi faktor luaran seperti konflik Asia Barat, tarif Amerika Syarikat, dan pengalihan eksport China.

Berhubuung konflik Asia Barat, beliau menekankan bahawa ketidaktentuan ekonomi global yang tinggi akibat harga minyak mentah dan baja yang melonjak, serta harga penghantaran gas asli cecair (LNG) ke Asia meningkat hampir dua pertiga antara Februari dan Mac.

Mengenai tarif Amerika Syarikat, Dr Apurva berkata kira-kira 46 peratus eksport Malaysia kini dikecualikan daripada tarif, majoriti daripada sektor elektrik & elektronik (E&E) serta mesin.

Bagaimanapun, pengecualian itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa, menjadikan Malaysia lebih terdedah berbanding rakan serantau.

“Kesimpulannya, Malaysia tidak boleh bergantung semata-mata kepada perbezaan tarif untuk meningkatkan daya saing. Negara perlu menggalakkan lebih banyak inovasi,” katanya.

Sementara itu, pengalihan eksport China ke pasaran ketiga turut memberi kesan kepada landskap ekonomi serantau, dengan Malaysia merekodkan peningkatan eksport ke negara itu yang keempat tertinggi di ASEAN.

“Satu tinjauan menunjukkan bahawa 75 peratus pengeksport China bercadang untuk mengimbangi penurunan eksport ke Amerika Syarikat dengan meluaskan pasaran ke negara ketiga seperti Malaysia,” katanya.

Struktur import seimbang Malaysia, yang merangkumi barangan pengguna, antara sederhana dan modal, menyokong pengeluaran domestik tanpa menjejaskan sektor pembuatan tempatan.

Beliau turut menasihatkan agar kebimbangan terhadap kemasukan barangan China dinilai secara berhati-hati dan langkah bersasar diambil, bukannya sekadar sekatan perdagangan dua hala secara menyeluruh.