
PUTRAJAYA, 9 April — Kementerian Pengangkutan (MOT) giat mengadakan libat urus bersama pemain industri termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan agensi berkaitan bagi merangka langkah menyokong kelangsungan sektor penerbangan negara.
- Perbincangan dengan CAAM dan MAHB meneliti pendekatan sesuai untuk menangani cabaran semasa industri penerbangan.
- Kementerian akan meneruskan sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas dan merangka respons lebih menyeluruh serta berkesan.
- Kerajaan komited memastikan kelangsungan sektor penerbangan melalui langkah bersasar dan responsif terhadap keperluan semasa.
- Perhatian pada keselamatan jalan raya, percepat penerapan telematik untuk kenderaan perdagangan dan tindakan tegas terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata perbincangan telah diadakan bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta MAHB bagi meneliti pendekatan bersesuaian dalam menghadapi cabaran semasa industri.
Beliau berkata kementerian akan meneruskan sesi libat urus dengan pihak industri dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklum balas serta merangka respons yang lebih menyeluruh dan berkesan.
“Kerajaan komited memastikan kelangsungan industri penerbangan melalui langkah bersasar dan responsif terhadap keperluan semasa,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan Bulan April di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam khusunya di Semenanjung.
“Kita harap dapat juga tunjukkan bahawa apa dilakukan oleh kerajaan khususnya dalam pembinaan kemudahan rel, terutamanya landasan-landasan kereta api yang menelan belanja cukup besar. Kesemua ini dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, Loke turut memberi perhatian terhadap aspek keselamatan jalan raya termasuk mempercepat pelaksanaan teknologi seperti telematik bagi kenderaan perdagangan.
Katanya, langkah itu penting dalam menangani isu kemalangan jalan raya termasuk kes melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah yang memerlukan tindakan lebih tegas serta penambahbaikan undang-undang.
“Kita mengakui bahawa isu sebegini merupakan isu besar kepada masyarakat…ia meragut nyawa manusia dan sudah tentu setiap kali apabila berlaku kemalangan, ia akan mendapat perhatian yang cukup besar daripada masyarakat,” katanya.