
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Indonesia 2026 selepas Ee Wei disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut kiri.
- Kecederaan berlaku ketika aksi suku akhir Terbuka Singapura minggu lalu.
- MRI menunjukkan koyakan separa ligamen krusiat anterior pada lutut kiri.
- MRI susulan dijadualkan sebelum pasukan perubatan menentukan rawatan dan program pemulihan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan memaklumkan Ee Wei mengalami kecederaan itu ketika aksi suku akhir Terbuka Singapura minggu lalu.
“Hasil pemeriksaan imbasan resonans magnetik (MRI) mendapati pemain berusia 24 tahun itu mengalami koyakan separa ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kirinya.
“Susulan kecederaan tersebut, pasangan ranking teratas negara itu membuat keputusan untuk tidak meneruskan cabaran di Terbuka Indonesia bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan,” menurut kenyataan itu.
Ee Wei dijadualkan menjalani satu lagi pemeriksaan MRI susulan pada Jumaat ini sebelum pasukan perubatan badan induk itu menentukan kaedah rawatan serta program rehabilitasi yang bersesuaian.
Perkembangan itu dilihat sebagai satu tamparan buat kem badminton negara memandangkan Tang Jie-Ee Wei merupakan antara sandaran utama Malaysia dalam acara beregu campuran di pentas antarabangsa.