Lelaki rugi hampir RM400,000 akibat skim kerja sambilan dalam talian

Foto hiasan

MIRI, 1 Jun – Seorang lelaki tempatan berusia awal 50-an mengalami kerugian sebanyak RM396,850 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket guna konsep 'task scam' atau 'merchant scam' e-dagang, pujuk mangsa buat pembayaran berulang dengan janji pulangan tinggi.
  • Mangsa diarahkan membuat bayaran muka bagi setiap pesanan dan memindah wang ke beberapa akaun bank berbeza.
  • Keuntungan dipaparkan dalam sistem dikawal sindiket; mangsa tidak dapat mengeluarkan wang kerana sentiasa diminta bayaran tambahan.
  • Orang ramai dinasihatkan berwaspada, semak nombor serta akaun bank melalui portal Semak Mule dan hubungi NSRC di talian 997.

Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah menerusi kenyataan memaklumkan, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri menerima laporan berhubung kes tersebut pada 1 Jun 2026.

“Mangsa telah dihubungi oleh seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Lim’ menerusi aplikasi WhatsApp dan menawarkan peluang menjana pendapatan dengan menguruskan pesanan pembelian pelanggan melalui sebuah platform e-dagang.

‘Mangsa dijanjikan komisen sebanyak 10 peratus bagi setiap transaksi yang berjaya diselesaikan dan untuk menyertai skim itu, mangsa diarahkan membuat bayaran terlebih dahulu bagi setiap pesanan kononnya untuk membolehkan pihak kilang memproses dan menghantar barangan kepada pelanggan,” menurut kenyataan itu.

Mangsa telah membuat pelbagai pembayaran ke beberapa akaun bank yang berbeza. Walaupun keuntungan dipaparkan dalam sistem, mangsa tidak pernah berjaya mengeluarkan sebarang keuntungan kerana sentiasa diminta membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

Akibat terpedaya dengan helah tersebut, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM396,850 yang melibatkan wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga. Kes kini disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Modus operandi berkenaan sering menggunakan konsep ‘task scam’, ‘merchant scam’ atau ‘e-commerce scam’, dengan mangsa dipujuk membuat pembayaran berulang kali dengan janji memperoleh keuntungan yang tinggi.

Keuntungan yang dipaparkan dalam sistem hanyalah paparan yang dikawal sindiket dan tidak boleh dikeluarkan oleh mangsa.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan atau kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

Orang ramai juga perlu membuat semakan nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan melalui portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan serta segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan siber.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.