Bacaan IPU Cheras cecah 151, JAS tingkat pemantauan

Foto FB JAS

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAS WPKL) meningkatkan rondaan dan pemantauan susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Cheras mencecah 151, iaitu pada tahap tidak sihat, setakat pukul 6.00 petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemerosotan kualiti udara berpunca daripada pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah serta cuaca panas dan kering menyebabkan habuk dan debu terperangkap.
  • JAS memberi amaran tindakan tegas di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; denda RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun.
  • Orang awam dinasihat kurangkan aktiviti luar, pakai pelitup N95, minum air mencukupi; semak IPU melalui APIMS/MyJAS EQMS dan lapor pembakaran.

JAS WPKL memaklumkan kemerosotan kualiti udara di ibu negara sejak beberapa hari kebelakangan ini berpunca daripada pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah, selain diburukkan keadaan cuaca panas dan kering yang menyebabkan habuk serta debu mudah terperangkap di ruang udara.

“Susulan itu, pasukan penguat kuasa JAS WPKL digerakkan untuk mempergiat rondaan harian bagi mencegah aktiviti pembakaran terbuka, khususnya di kawasan berisiko termasuk tapak pelupusan sampah haram, kawasan perindustrian, tapak pembinaan dan kawasan perumahan,” menurut kenyataan itu.

JAS WPKL memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024).

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Denda tambahan sehingga RM5,000 bagi setiap hari juga boleh dikenakan bagi kesalahan yang berterusan selepas notis dikeluarkan supaya perbuatan itu dihentikan.

Dalam pada itu, JAS WPKL menasihatkan orang awam supaya mengurangkan aktiviti fizikal di luar bangunan, memakai pelitup muka khususnya jenis N95 apabila perlu berada di luar, selain memastikan pengambilan air kosong yang mencukupi.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

Tambah JAS WPKL, pemantauan kualiti udara dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan, manakala orang ramai disaran menyemak trend bacaan IPU terkini menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) atau aplikasi MyJAS EQMS.

Sebarang aduan berkaitan pembakaran terbuka atau pencemaran alam sekitar boleh disalurkan kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.