
KUANTAN, 14 Ogos – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menjalankan pemeriksaan dan kajian secara berkala terhadap pokok besar dan tua yang berpotensi mengancam keselamatan orang awam.
- PBT mesti jalankan pemeriksaan berkala terhadap pokok besar dan tua yang berpotensi mengancam keselamatan orang awam.
- Pemeriksaan perlu menyeluruh, khasnya di kawasan tumpuan awam, tepi jalan, kawasan perumahan dan laluan orang ramai.
- Ambil tindakan susulan segera apabila dikesan pokok berisiko tumbang atau boleh mendatangkan bahaya.
- Laksanakan penyelenggaraan proaktif untuk kenal pasti risiko awal agar keselamatan nyawa dan harta terpelihara.
Baginda bertitah, pemeriksaan itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh, khususnya terhadap pokok di kawasan tumpuan awam, tepi jalan, kawasan perumahan dan lokasi yang sering menjadi laluan orang ramai.
Menurut baginda, tindakan susulan perlu diambil segera sekiranya pemeriksaan mendapati terdapat pokok yang berisiko tumbang atau boleh mendatangkan bahaya.
“Semua PBT perlu kaji status pokok yang besar dan tua. Kalau difikirkan boleh mendatangkan bahaya, perlu buat tindakan susulan.
“Jangan tunggu sehingga berlaku kejadian tidak diingini, terutama yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa rakyat,” titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang.
Baginda bertitah demikian susulan beberapa kejadian pokok tumbang yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan kepada orang awam baru-baru ini.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya pemeriksaan dan penyelenggaraan pokok dilaksanakan secara proaktif oleh semua PBT bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan.
Baginda bertitah, langkah itu penting bagi membolehkan sebarang risiko dikenal pasti lebih awal dan tindakan pencegahan diambil sebelum berlaku kejadian yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan atau kerosakan harta benda.