
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Lembaga Tabung Haji (TH) memasuki fasa kedua pelaksanaan misi Reformasi dan Pemerkasaan Semula (R2) dengan fokus memperkukuh kedudukan kewangan, membudayakan simpanan terancang serta memperluas pendigitalan perkhidmatan.
- Ramai pendaftar haji mendaftar dengan hanya RM1,300 lalu tidak bersedia apabila dipanggil.
- TH galak pendeposit membina tabiat menyimpan terancang sejak usia muda kerana kos haji mungkin meningkat.
- Perluas penggunaan digital seperti Kalkulator Simpanan Haji di laman web dan aplikasi THiJARI untuk perancangan simpanan bulanan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pendeposit lebih bersedia dari segi kewangan apabila tiba giliran menunaikan haji.
“Kajian TH mendapati, ramai yang mendaftar haji dengan hanya menyimpan RM1,300 kemudian menunggu untuk dipanggil.
“Apabila dipanggil, mereka tidak bersedia dan mengambil masa untuk mengumpulkan simpanan bagi membayar bayaran haji atau kos haji tersebut,” katanya dalam program Bicara Naratif terbitan RTM.
Jelas beliau lagi, kos haji yang dikekalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak semestinya kekal pada kadar sama pada masa depan, mengambil kira peningkatan kos penerbangan serta kemudahan di Tanah Suci.
Sehubungan itu, TH mahu menggalakkan pendeposit membina tabiat menyimpan secara lebih terancang sejak usia muda.
Sebelum ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dalam laporannya mengesyorkan deposit minimum bagi melayakkan pendeposit mendapat giliran haji pertama dinaikkan daripada RM1,300 kepada jumlah kos haji semasa.
Dalam usaha membantu pendeposit merancang simpanan, TH turut memperluas penggunaan kemudahan digital termasuk Kalkulator Simpanan Haji menerusi laman sesawang rasmi dan aplikasi THiJARI.
“Dengan kalkulator ini, mereka boleh merancang berapa simpanan bulanan yang perlu dibuat mengikut tempoh munasabah, contohnya 10, 15 atau 20 tahun.
“Mereka boleh masukkan jumlah simpanan semasa dan tempoh yang mahu ditetapkan, kemudian kalkulator akan menunjukkan jumlah simpanan bulanan yang diperlukan untuk mencukupkan baki,” katanya.
Fasa pertama misi Reformasi dan Pemerkasaan Semula (R2) dari 2018 hingga 2025 memfokuskan aspek pemulihan dan pengukuhan.