
KANGAR, 14 Ogos – Kerjasama erat antara Polis Perlis dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman akan di pertingkatkan bagi menguatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.
- Usaha meminimakan jenayah rentas sempadan di Perlis.
- Kontinjen Perlis berharap bekerjasama dengan KDNKA Bukit Aman dan Datuk Muhammad untuk memperkukuh penugasan sempadan.
- Zaihairul mengambil alih tugas Ketua Polis Perlis daripada Datuk Muhammad Abdul Halim.
- Zaihairul merakamkan penghargaan kepada media atas sokongan menaikkan imej PDRM.
Pemangku Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner (SAC) Zaihairul Idrus berkata, usaha itu dilihat mampu meminimakan kadar jenayah rentas sempadan di Perlis dengan lebih signifikan.
“Kontinjen Perlis berharap, sebagai negeri yang bersempadan dengan negara jiran, saya akan bekerjasama dengan pihak KDNKA Bukit Aman, khususnya Datuk Muhammad Abdul Halim, bekas Ketua Polis Perlis, untuk menguatkan dan memperkukuhkan lagi penugasan di sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar.
Sesi serah terima tugas itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Komisioner Polis (CP) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Zaihairul yang juga Timbalan Ketua Polis Perlis mengambil alih tugas berkenaan daripada Datuk Muhammad Abdul Halim yang kini bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan/Operasi).
Pada kesempatan itu, beliau yang juga bekas Ketua Polis Perlis, merakamkan penghargaan kepada pengamal media di Perlis yang menyokong dan menaikkan imej PDRM melalui pelbagai liputan berita.
“Jutaan terima kasih kepada rakan-rakan media, khususnya rakan media di Perlis daripada semua peringkat, yang telah banyak membantu saya, memberikan sokongan dan terlibat dalam banyak program serta lawatan, khususnya,” katanya.