ECRL siap Disember 2026, kini masuk fasa ujian tanpa gagal

Foto ihsan Kementerian Pengangkutan

GOMBAK, 14 Ogos – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berada di landasan tepat untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026 sebelum memulakan operasi kepada penumpang pada Januari 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek memasuki fasa SIT dan FFR untuk jajaran Kota Bharu hingga Gombak.
  • Keselamatan kekal keutamaan; usaha memendekkan tempoh FFR tanpa menjejaskan keselamatan.
  • FFR melibatkan ujian perjalanan sejauh 8,000 kilometer untuk menilai prestasi dan kebolehpercayaan sistem.
  • Fasa 1 catat kemajuan 95.08% setakat Julai; Fasa 2 dijangka siap Disember 2027, operasi Januari 2028.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata, ketika ini projek berkenaan memasuki fasa penting dengan bermulanya Ujian Integrasi Sistem (System Integration Testing, SIT) dan Ujian Larian Tanpa Gagal (Fault-Free Run, FFR) bagi jajaran Kota Bharu, Kelantan hingga Gombak, Selangor.

Menurutnya, aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan dalam pelaksanaan kedua-dua ujian itu, namun kaedah yang sesuai akan diteliti bagi memendekkan tempoh FFR tanpa menjejaskan keselamatan.

“Kita permudahkan tanpa berkompromi dalam saringan keselamatan SIT. Kita lebih takut daripada anda. Sys lebih takut daripada anda kalau ada risiko.

Sebenarnya proses yang kita ambil memakan masa yang terlalu lama. Namun pihak berkuasa akan melihat kaedah yang boleh digunakan untuk memendekkan tempoh FFR supaya perkhidmatan dapat disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Comprehensive Inspection Train (CIT) dan Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan SIT dan FFR Projek ECRL di Stesen Terminal Bersepadu Gombak di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Haji Habibollah, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri M Jana Santhiran, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Presiden CCCC Zhang Bingnan.

FFR membabitkan ujian perjalanan sejauh 8,000 kilometer bagi menilai prestasi operasi dan kebolehpercayaan keseluruhan sistem kereta api.

Ujian itu turut meliputi interaksi antara tren dengan sistem utama seperti sistem semboyan, komunikasi dan bekalan kuasa bagi memastikan operasi selamat, boleh dipercayai dan cekap sebelum perkhidmatan penumpang dimulakan.

Loke berkata, semua ujian terdahulu perlu dilengkapkan dan diluluskan sebelum FFR dilaksanakan, justeru, usaha mempercepat tempoh berkenaan tidak bermaksud mana-mana proses keselamatan diketepikan.

Sementara itu, beliau berkata, projek ECRL kini mencatat kemajuan keseluruhan 95.08 peratus setakat Julai bagi Fasa 1 yang menghubungkan Kota Bharu dan Gombak.

Beliau berkata, Fasa 2 yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027, dengan operasi dijadualkan bermula pada Januari 2028.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.