Air deras di Yan bukan fenomena kepala air

Limpahan air dari Gunung Jerai susulan hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan di Yan dilanda banjir kilat.

YAN, 14 Ogos – Kejadian air deras di beberapa kawasan peranginan di daerah Yan hari ini bukan berpunca daripada fenomena kepala air, sebaliknya limpahan air dari Gunung Jerai susulan hujan lebat berterusan dan ribut petir sejak awal pagi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kawasan terjejas: Titi Hayun, Seri Perigi serta beberapa kampung berhampiran Sungai Yan mengalami banjir kilat.
  • APM Daerah Yan meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko; tiada Pusat Pemindahan Sementara dibuka setakat ini.
  • Air pasang besar dipercayai menyebabkan aliran gunung tersekat, paras pasang direkodkan 2.8 meter; penduduk dinasihatkan berwaspada.

Pegawai Daerah Yan, Ahmad Fuad Che Ani @ Abd. Ghani ketika dihubungi RTM berkata, dua kawasan peranginan yang terjejas ialah Titi Hayun dan Seri Perigi.

Limpahan air turut menyebabkan banjir kilat di beberapa kampung berhampiran Sungai Yan, antaranya Kampung Perigi, Kampung Titi Bakong dan Kampung Teroi Bukit.

Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Yan meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko tinggi termasuk Pekan Yan Besar dan Kampung Titi Teras.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan Muda (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata, setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, manakala jumlah rumah yang terjejas masih dalam pemantauan pihak berkuasa.

Menurut beliau, faktor air pasang besar dipercayai menyebabkan aliran air dari gunung tersekat sebelum melimpah ke tebing sungai dan kawasan penempatan.

Paras air pasang direkodkan setinggi 2.8 meter pada pukul 1.41 tengah hari tadi.

Sementara itu, bacaan Sungai Yan di Stesen Sungai Udang berada pada paras bahaya iaitu 4.36 meter, manakala Stesen Sungai Singkir kekal pada paras normal.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir berterusan di kebanyakan kawasan pada sebelah petang sebelum keadaan cuaca dijangka reda menjelang malam.

Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap sistem amaran awal dan berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.