
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkongsi koleksi gambar serta maklumat yang merakamkan perjalanan hidup Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah sempena ulang tahun hari keputeraan Baginda, hari ini.
- Puteri kedua kepada Almarhum Sultan Perak Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin.
- Mencapai Ijazah Sarjana Muda di Somerville College, Oxford 1979; Ijazah Sarjana Muda Pengajian Cina 1983; Ijazah Sarjana 1986.
- Diijabkabul 22 September 1982 dengan Sultan Ibrahim yang ketika itu Tunku Mahkota Johor.
- Pasangan Diraja dikurniakan enam anak; dilantik Permaisuri Johor sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim pada 23 Mac 2015.
Koleksi yang dikongsikan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu mengetengahkan pelbagai fasa penting dalam kehidupan Raja Zarith Sofiah, termasuk zaman kanak-kanak, pendidikan, perkahwinan, keluarga serta peranan Baginda sebagai Raja Permaisuri Agong.
Raja Zarith Sofiah merupakan puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Muzwin Binti Almarhum Raja Dato’ Sri Ariff Shah.
Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Datin Khadijah, Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom, Kuala Kangsar.
Pada 1972, Baginda melanjutkan pendidikan di Cheltenham Ladies’ College, England dan Ijazah Sarjana Muda di Somerville College, University of Oxford pada 1979.
Baginda kemudiannya dikurniakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Cina pada 1983 dan Ijazah Sarjana (Master of Arts) pada 1986.
Pada 22 September 1982, Raja Zarith Sofiah diijabkabulkan dengan Sultan Ibrahim yang ketika itu bergelar Tunku Mahkota Johor.
Pasangan Diraja itu dikurniakan enam cahaya mata, terdiri daripada lima putera dan seorang puteri.
Pada 23 Mac 2015, Baginda dikurniakan gelaran Permaisuri Johor sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim.