Kebakaran hutan musnahkan rumah, kenderaan di Pantai Adriatik Croatia

Foto REUTERS

BUDAPEST, 14 Ogos – Kebakaran hutan besar berhampiran bandar bersejarah dan pelabuhan Omis di Croatia mencederakan beberapa orang serta memusnahkan rumah dan kenderaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik laporan media pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 12 mangsa dibawa ke hospital, termasuk tujuh mengalami kecederaan melecur mengancam nyawa.
  • Lebih 1,000 orang ditempatkan di gimnasium dan pusat perlindungan; pemindahan turut dilakukan menggunakan bot.
  • Ratusan anggota bomba, hampir 300 jentera dan empat pesawat pengebom air dikerahkan untuk operasi pemadaman.
  • Kebakaran bermula dekat Lokva Rogoznica, merebak sekitar 10 km pesisir, diburukkan oleh angin kencang dan kemarau panjang.

Lebih 12 mangsa yang cedera dibawa ke hospital, termasuk tujuh yang mengalami kecederaan melecur sehingga mengancam nyawa, menurut laporan itu.

Lebih 1,000 orang ditempatkan di gimnasium dan pusat perlindungan sementara lain sepanjang malam, manakala ramai pelancong melarikan diri dengan kereta. Pihak berkuasa turut mengatur pemindahan menggunakan bot melalui Laut Adriatik.

Menjelang pagi Jumaat, keadaan dilaporkan sebahagian besarnya terkawal. Sebelum itu, ratusan anggota bomba dengan hampir 300 jentera bomba dan empat pesawat pengebom air bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.

Usaha memadamkan kebakaran terjejas akibat angin kencang yang mempercepat penyebaran api.

Kebakaran tercetus pada petang Khamis berhampiran Lokva Rogoznica, kira-kira 20 kilometer ke selatan Split, selepas kemarau berpanjangan. Api dengan pantas merebak di sepanjang kira-kira 10 kilometer kawasan pesisir, dengan sebahagian besarnya membakar hutan pain.

Omis yang mempunyai kira-kira 14,000 penduduk paling teruk terjejas apabila api merebak dari kawasan bukit di sekitarnya ke arah pantai, sekali gus mengancam rumah di pinggir bandar itu.

Kerosakan akibat kebakaran terhadap rumah turut dilaporkan di sekurang-kurangnya enam lokasi lain. Penilaian rasmi mengenai kerosakan masih belum tersedia. – BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.