
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemukan di sekitar Pasar Seni, Kuala Lumpur, malam tadi.
- Pengerusi MARA Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan penemuan pelajar menerusi hantaran Facebook, berkata Alhamdulillah.
- Polis Diraja Malaysia Bukit Aman menemui kedua-dua pelajar pada pukul 10.31 malam.
- Laporan kehilangan dibuat seorang guru pada 11 Ogos kira-kira 10.46 malam sebelum penemuan.
Perkara itu disahkan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook pada awal pagi tadi.
Menurutnya, kedua-dua pelajar berkenaan berjaya ditemukan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman pada pukul 10.31 malam.
“Alhamdulillah, pihak Polis Bukit Aman berjaya menemui kedua-dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang dilaporkan hilang sejak Selasa di sekitar Central Market Kuala Lumpur pukul 10.31 malam tadi (semalam),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, pihak polis menerima laporan daripada seorang guru berhubung kehilangan kedua-dua pelajar berkenaan pada pukul 10.46 malam, 11 Ogos lalu.