
KUCHING, 15 Ogos – Sebanyak lapan kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 3.30 pagi tadi.
- Serian catat IPU tertinggi 169, diikuti Samarahan dan Kuching 167.
- Kesemua bacaan berada dalam kategori tidak sihat, iaitu antara 101 hingga 200.
- Operasi pembenihan awan bersama NADMA dilaksanakan untuk lindungi empangan dan tadahan air serta kurangkan risiko jerebu.
Berdasarkan data terkini, IPD Serian mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 169, diikuti Samarahan dan Kuching masing-masing 167.
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Sri Aman dengan 157, Sarikei (156), Bintulu (155), Mukah (153) dan Samalaju (130).
Kesemua bacaan berkenaan berada dalam kategori tidak sihat, iaitu antara 101 hingga 200.
Perkembangan itu menunjukkan keadaan jerebu masih memerlukan pemantauan susulan keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka berterusan di kebanyakan kawasan Borneo sehingga 20 Ogos.
Angin dari arah selatan serta peningkatan jumlah titik panas di Borneo antara faktor yang boleh menyumbang kepada peningkatan risiko jerebu dan pengurangan jarak penglihatan, terutama di bahagian selatan Sarawak.
Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di Sarawak dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan tumpuan diberikan kepada kawasan empangan kritikal dan tadahan air.
Langkah itu antara lain bertujuan menangani cuaca panas dan kering berpanjangan, mengurangkan risiko gangguan bekalan air serta mengelakkan keadaan jerebu daripada bertambah buruk.