Laluan cerah buat Selangor selepas menewaskan Negeri Sembilan 

Skuad bola keranjang 5×5 lelaki Selangor ketika bertemu Negeri Sembilan di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi, Klang, malam tadi/ RTM

KLANG, 15 Ogos – Skuad bola keranjang 5×5 lelaki Selangor membuka kempen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan kemenangan 76-72 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi Kumpulan A di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi, Klang, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih Kee: kemenangan tingkatkan keyakinan pemain walau persiapan belum mencukupi; berharap momentum dikekalkan.
  • Kapten Yap: debut SUKMA mencabar; kerjasama, komunikasi dan disiplin bertahan jadi kunci kejayaan serta motivasi untuk lebih baik.
  • Pasukan ambil kemenangan sebagai pemangkin motivasi dan sasaran utama mereka ialah untuk menjadi juara.
  • Selangor dijadual berdepan Perak seterusnya; kumpulan turut dianggotai Kedah, Wilayah Persekutuan dan Sabah.

Ketua jurulatih Selangor, Kee Kok Weng, menyifatkan kemenangan itu penting dalam meningkatkan keyakinan pemain, terutama selepas berdepan tentangan sengit daripada Negeri Sembilan.

Beliau mengakui persiapan pasukan tidak mencukupi, namun berpuas hati dengan prestasi anak buahnya pada perlawanan pertama dan berharap semangat serta momentum itu dapat dikekalkan dalam aksi seterusnya.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi mereka kerana pemain Negeri Sembilan sangat kuat dan memberi cabaran kepada kami. Persiapan memang tidak cukup, tetapi ini perlawanan pertama. Saya harap kami dapat teruskan semangat ini,” katanya.

Sementara itu, Kapten Selangor, Yap Zen Haw, menyifatkan perlawanan berkenaan sebagai pengalaman mencabar, terutama bagi penampilan sulungnya di pentas SUKMA.

Katanya, kerjasama, komunikasi dan disiplin bertahan menjadi antara faktor penting yang membantu Selangor mengekalkan kelebihan sehingga tamat perlawanan.

“Ini kali pertama saya menyertai SUKMA dan saya fikir perlawanan ini sangat sukar. Kami bekerja bersama, berkomunikasi dan bertahan bersama. Kami ambil kemenangan ini sebagai motivasi dan saya fikir kami boleh lakukan lebih baik. Sasaran kami adalah untuk menjadi juara,” katanya.

Selangor selepas ini dijadual menentang Perak dalam aksi Kumpulan A.

Selain Selangor, Negeri Sembilan dan Perak, turut berada dalam kumpulan sama adalah Kedah, Wilayah Persekutuan dan Sabah.##

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.