
- Penyedia media sosial berlesen wajib melaksanakan pengesahan umur berdasarkan had minima 16 tahun menggunakan rekod kerajaan atau rekod setara diiktiraf.
- Bermula 1 Jun 2026 hanya pengguna berumur 16 tahun ke atas boleh mendaftar dan mengakses ciri sesuai umur.
- Pengesahan untuk pengguna sedia ada dijalankan berperingkat dalam tempoh sehingga enam bulan; bawah 16 tahun diberi sebulan pindah atau muat turun data.
- RMC mengkehendaki penilaian risiko, kawalan keselamatan pengguna dan peningkatan akauntabiliti platform; kegagalan mematuhi boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
CYBERJAYA, 1 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menguatkuasakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), bagi memperkukuh keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran digital negara.
Melalui pelaksanaan ini, semua penyedia media sosial berlesen wajib melaksanakan langkah perlindungan termasuk pengesahan umur pengguna berdasarkan had umur minimum 16 tahun.
“Pengesahan umur hendaklah dibuat berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia atau rekod setara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, bermula 1 Jun 2026, penyedia perkhidmatan hendaklah memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun serta mengakses mana-mana ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur mereka.
Bagi pengguna sedia ada, proses pengesahan umur akan dijalankan secara berperingkat dalam tempoh sehingga enam bulan.
“Pengguna yang dikenal pasti berumur bawah 16 tahun akan diberi masa sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data seperti gambar dan video sebelum sebarang sekatan dikenakan,” menurut MCMC lagi.
Peraturan itu melibatkan platform media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
MCMC menegaskan bahawa sebarang kegagalan mematuhi keperluan ini boleh dikenakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan di bawah undang-undang sedia ada.
Selain itu, RMC turut mewajibkan pihak platform melaksanakan langkah tambahan seperti penilaian risiko, kawalan keselamatan pengguna serta peningkatan akauntabiliti platform.
MCMC akan terus bekerjasama dengan pemain industri dan masyarakat bagi memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab.