
RAWANG, 1 Jun – Seorang lelaki warga Bangladesh cedera selepas terjatuh ketika mandi di kawasan Air Terjun Taman Eco Rimba Rawang, di sini pagi tadi.
- Mangsa mengalami kecederaan di kepala, pinggang, belakang dan kaki, dilaporkan berada dalam keadaan sedar.
- Mangsa dipercayai terjatuh di laluan air terjun berketinggian kira-kira 50 meter.
- Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dan berjaya membawa mangsa turun dari kawasan itu.
- Mangsa diserahkan kepada petugas KKM untuk rawatan dan dibawa ke Hospital Selayang; operasi libatkan sembilan anggota, FRT dan EMRS.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Pegawai Bomba Kanan I Khairul Azhar Alimulhakim dalam kenyataan memaklumkan mangsa dipercayai terjatuh ketika sedang mandi di laluan air terjun berketinggian kira-kira 50 meter.
“Mangsa yang berada dalam keadaan sedar mengalami kecederaan di bahagian kepala, pinggang, belakang badan dan kaki.
“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi menyelamat sebelum berjaya membawa mangsa turun dari kawasan air terjun,” menurut kenyataan itu.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Selayang.
Operasi melibatkan sembilan anggota dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.46 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang tiba di tempat kejadian lapan minit kemudian.