
KUALA TERENGGANU, 9 April – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menafikan dakwaan tular di media sosial berhubung kononnya tiga pelajar di daerah Kemaman mengalami strok haba, pada Rabu.
- Pelajar mengalami keletihan dan simptom dehidrasi selepas menyertai program merentas desa; semua dibawa ke hospital dan penjaga dimaklumkan.
- Keadaan semua pelajar adalah stabil dan tidak seperti gambaran dalam laporan tular.
- JPNT arah penambahbaikan: pastikan pasukan penyelamat disertai pada aktiviti luar dan sekolah pantau cuaca melalui portal Met Malaysia.
Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah @ Kamal Mohamed ketika dihubungi berkata insiden yang berlaku disebabkan keletihan dan simptom dehidrasi selepas pelajar terbabit menyertai program merentas desa.
“Kejadian berlaku pada waktu pagi dan pihak sekolah telah mengambil tindakan segera dengan membawa semua pelajar terlibat ke hospital untuk pemeriksaan lanjut serta memaklumkan kepada penjaga masing-masing.
“Keadaan kesemua pelajar adalah stabil dan tidak seperti yang digambarkan dalam laporan tular,” katanya.
Suhu semasa aktiviti berlangsung adalah sekitar 28 hingga 30 darjah Celsius dan program berakhir pada pukul 10.30 pagi.
Dalam pada itu, JPNT memandang serius insiden berkenaan dan mengarahkan beberapa langkah penambahbaikan bagi memastikan keselamatan murid sentiasa terjamin.
Antaranya termasuk memastikan kehadiran pasukan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bulan Sabit Merah atau St. John Ambulans bagi setiap aktiviti luar bilik darjah.
Selain itu, pihak sekolah juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan serta memantau tahap cuaca dan suhu semasa melalui portal
Met Malaysia sebelum melaksanakan sebarang aktiviti.