
KUALA LUMPUR, 9 April — Konflik di Asia Barat mula memberi kesan ketara terhadap ekonomi global dengan sekurang-kurangnya lapan impak utama dikenal pasti.
- Harga minyak dan gas melonjak, mendorong kos tenaga global naik dan tekanan inflasi.
- Pasaran saham global jatuh akibat kebimbangan pelabur terhadap risiko konflik berlanjutan.
- Gangguan pengeluaran tenaga: pengeluaran ExxonMobil turun dan serangan dron pada saluran paip menjejaskan bekalan.
- Selat Hormuz hanya dibuka secara terhad, menangguhkan operasi perkapalan dan menjejaskan bekalan bahan api penerbangan.
Serangan berterusan Israel di Lubnan terus menggugat kestabilan serantau meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan penggantungan tindakan ketenteraan selama dua minggu terhadap Iran.
Antara kesan utama ialah peningkatan harga minyak mentah dan gas, di samping kejatuhan pasaran saham global akibat kebimbangan pelabur terhadap risiko konflik berpanjangan.
Harga minyak naik, pasaran saham jatuh
Harga minyak mentah meningkat semula selepas sebelum ini merosot susulan pengumuman gencatan senjata dua minggu antara Washington dan Tehran.
Ketidaktentuan berterusan menyebabkan pelabur mengambil langkah berhati-hati, sekali gus menekan pasaran saham global.
Laluan Hormuz dibuka semula secara terhad
Laluan strategik Selat Hormuz menyaksikan pergerakan kapal yang sangat terhad walaupun diumumkan dibuka semula. Setakat ini, hanya beberapa kapal kargo dilaporkan melalui laluan berkenaan, dengan syarikat perkapalan utama masih menangguhkan operasi susulan situasi keselamatan yang tegang.
Pengeluaran minyak terjejas
Syarikat tenaga utama, ExxonMobil melaporkan penurunan enam peratus dalam pengeluaran petroleum suku pertama akibat gangguan operasi berkaitan konflik di Asia Barat.
Serangan dron jejas infrastruktur tenaga
Dalam perkembangan berkaitan, saluran paip utama di Arab Saudi dilaporkan menjadi sasaran serangan dron, sekali gus menjejaskan lagi rantaian bekalan tenaga global.
Ruang udara dibuka semula
Bahrain dan Iraq masing-masing mengumumkan pembukaan semula ruang udara selepas ditutup sejak konflik tercetus, susulan gencatan senjata antara AS dan Iran.
Keuntungan syarikat tenaga meningkat
Syarikat tenaga global seperti Shell dijangka mencatat peningkatan keuntungan berikutan lonjakan harga minyak, walaupun pengeluaran gas terjejas akibat kerosakan fasiliti di Qatar.
Ancaman tarif AS
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut memberi amaran akan mengenakan tarif sehingga 50 peratus terhadap negara yang membekalkan senjata kepada Iran, selain memberi bayangan rundingan berkaitan tarif dan sekatan sedang berlangsung.
Gangguan bahan api penerbangan berlarutan
Bekalan dan harga bahan api jet dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk kembali stabil walaupun Selat Hormuz dibuka semula.
Ketua Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Willie Walsh berkata gangguan terhadap kapasiti penapisan di Asia Barat menjadi faktor utama kelewatan pemulihan itu.
“Saya tidak fikir ia akan pulih dalam tempoh beberapa minggu,” katanya. – AFP