GSF 2.0 lumpuhkan propaganda palsu rejim Zionis

Tinjauan persiapan akhir misi kemanusian di gudang MAPIM-Al Khair di Kaherah/Foto RTM Faris Izzat

KAHERAH, 9 April – Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dilaksanakan bagi membangkitkan semula kesedaran dunia mengenai penindasan Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak pernah berhenti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lumpuhkan hasbara mesin propaganda palsu rejim Zionis di pentas dunia.
  • Misi diteruskan susulan kejayaan misi pertama pada Ogos tahun lepas.
  • Peperangan antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel mengalihkan perhatian dunia; GSF 2.0 pecah kesunyian, lenyapkan naratif palsu.
  • Misi kemanusiaan bawa 30 kontena Malaysia ke Gaza; pelayaran bermula dari Barcelona 12 April dengan hampir 100 kapal.

Ia juga membawa matlamat strategik untuk melumpuhkan ‘hasbara’ atau mesin propaganda palsu rejim Zionis di pentas dunia.

Menurut Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, misi GSF 2.0 diteruskan susulan kejayaan misi pertama pada Ogos tahun lepas.

“Bukti kejayaannya ialah apabila zionis Israel pada tahun ini memaklumkan bahawa kos untuk hasbara yang mereka letakkan dalam belanjawan baharu mereka adalah sebanyak AS$750 juta berbanding AS$150 juta pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan akhir Misi Bantuan Kemanusiaan 30 kontena Malaysia ke Gaza, di sini.

Menurut Muhammad Nadir Al-Nuri, peperangan yang berlaku antara Iran dengan Amerika Syarikat-Israel telah mengalihkan perhatian dunia.

Justeru, GSF 2.0 digerakkan sebagai usaha kolektif untuk memecah kesunyian dan memastikan naratif palsu yang dibawa rejim Zionis dapat dilenyapkan.

“Israel cuba membawa naratif palsu kepada seluruh media dan masyarakat antarabangsa seolah-olah mereka dizalimi dan sedang mempertahankan diri.

“Misi GSF 2.0 ini akan memastikan cerita palsu musuh dapat ditenggelamkan hasil sokongan daripada semua,” ujarnya lagi.

Misi kemanusiaan GSF 2.0 dijadual memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol pada 12 April dan ia adalah misi pelayaran melalui laut melibatkan hampir 100 kapal.